Skip to main
Logo Malaysiakini

Perubahan politik Kelantan perlu mula dari Nenggiri - Bung Moktar

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pembangunan di Kelantan khususnya di Nenggiri sukar dilaksanakan sekiranya kerajaan negeri masih dipimpin PAS, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Bung Moktar Radin.

Katanya, ini kerana kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam soal tanah dan ia menyukarkan usaha kerajaan persekutuan membawa masuk projek pembangunan.

"Kita berhadapan dengan masalah selagi mana Kelantan ditadbir oleh kerajaan negeri (PAS), jadi apa pun pembangunan yang kerajaan persekutuan bawa apabila tidak ada tanah tak dapat dilaksana.

"Sebab tu saya kata untuk merubah polemik politik di Kelantan ini perlu bermula di Nenggiri.

"Bila menang baru kita boleh strategikan Kelantan secara menyeluruh," katanya ketika berkempen bagi PRK DUN Nenggiri di Jeram Tekoh, Gua Musang, hari ini.

Hadir sama calon BN, Mohd Azmawi Fikri Ghani.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi yang terbabit memilih mengundi secara pos.

Sementara itu, Bung Moktar mengingatkan calon BN supaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

"Jadi apa yang perlu calon buat apabila menang, selesaikan isu rakyat. Calon harus ingat kita datang daripada (undi) rakyat maka kembali (menyumbang) kepada rakyat.

"Insya-Allah kalau ini semua wakil rakyat BN buat kita tidak akan kalah dalam pilihan raya mana sekalipun," katanya lagi.