Skip to main
Logo Malaysiakini

Awie enggan rasa selesa, mahu jumpa seramai mungkin pengundi

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Menyedari hakikat bahawa BN tewas di Nenggiri dalam pilihan raya negeri (PRN) yang lalu, calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) di DUN itu, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani tidak meletakkan dirinya dalam keadaan selesa.

Sebaliknya jelas Mohd Azmawi atau lebih dikenali sebagai Awie, dia perlu bertemu seramai mungkin pengundi untuk merayu sokongan.

“Saya perlu berpijak di bumi yang nyata. Kita pada PRN lepas kalah lebih 800 undi, itu yang saya hadapi di mana hari pertama selepas penamaan calon saya perlu lipat gandakan lagi kerja dalam memastikan pengundi di Nenggiri memilih saya sebagai wakil rakyat," katanya ketika ditemui semasa berkempen di Jeram Tekoh, Gua Musang, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azmawi berkata dia telah turun ke semua pusat daerah mengundi (PDM) untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

“Pusingan pertama saya sudah selesai sebab saya diumum awal sebagai calon BN. Itu kelebihan awal dan kerja saya berjumpa dengan seramai mungkin pengundi untuk mereka undi saya,” katanya.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi yang terbabit memilih mengundi secara pos.

Mohd Azmawi bakal dicabar calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail yang dipertaruhkan Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Sementara itu, Mohd Azmawi yakin pengundi muda bersamanya memandangkan dia susah lama aktif di Nenggiri termasuk di media sosial.

“Saya sebenarnya sudah aktif dalam media sosial sejak 2018 lagi, kebanyakan anak muda di sini tahu kerja saya, jadi sedikit sebanyak (membantu), sebab 61 peratus pengundi muda di sini.

"Dan ia cukup membantu dalam gerak kerja bagi memastikan undi anak muda saya dapat,” katanya.