Skip to main
Logo Malaysiakini

Annuar minta kerajaan jelaskan dakwaan Tesla tak jadi buka kilang di M'sia

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Presiden Muafakat Nasional Annuar Musa meminta kerajaan memberi penjelasan berhubung laporan yang mendakwa Tesla tidak akan membuka kilangnya di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

“Baru beberapa bulan lepas, Perdana Menteri umumkan Tesla nak buka kilang besar EV (kenderaan elektrik) di Malaysia, dengan puluhan ribu peluang kerja untuk rakyat.

“Tiba-tiba hari ini keluar berita Tesla batalkan rancangan melabur di Malaysia tetapi akan melabur di China.

“Mungkin ada penjelasan daripada kerajaan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam, akhbar Thailand The Nation melaporkan Tesla telah membatalkan rancangan untuk membuka kilang EV di negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Memetuk sumber daripada kerajaan Thailand, The Nation melaporkan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat itu akan memberi tumpuan kepada stesen cas.

“Pada masa ini Tesla hanya membincangkan soal stesen cas, dengan rancangan (membuka) kilang bukan saja di Thailand, tetapi seluruh negara telah ditangguh.

“Mereka tidak akan teruskan (rancangan) di Malaysia, Indonesia atau negara lain kecuali China, Amerika dan Jerman,” menurut sumber itu seperti dipetik.

Laporan itu juga menyatakan ia adalah sebahagian daripada langkah Tesla “menarik balik pelaburan di Asia dan melangkauinya”.

Malaysiakini telah menghubungi Tesla, Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk mendapatkan respons berhubung laporan itu.

Tesla secara rasmi masuk ke pasaran EV Malaysia tahun lalu selepas membuka pusatnya di Putrajaya dan beberapa lokasi lain, selain mengumumkan rancangan untuk menambah rangkaian stesen cas EV.

Laporan CNBC pada Ogos tahun lalu menyatakan Tesla turut merancang untuk menghasilkan bateri EV di Malaysia.

Sebagai usaha untuk menarik pelaburan Tesla, syarikat itu diberi pengecualian untuk operasinya di Malaysia menjadi milik penuh pihak luar.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula beberapa kali membangkitkan pelaburan daripada Tesla dan syarikat multinasional lain sebagai tanda keyakinan terhadap kestabilan politik dan hala tuju ekonomi negara.