Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pembangunan kerangka undang-undang CCUS dipandu pandangan AGC'

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Kementerian Ekonomi dalam membangunkan kerangka undang-undang industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Malaysia, akan dipandu dan diikat oleh pandangan undang-undang yang diberikan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menteri berkenaan Rafizi Ramli berkata kerangka itu termasuk aspek berhubung tafsiran persempadanan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seperti yang telah termaktub di bawah Akta Pelantar Benua (1966), Akta Zon Ekonomi Eksklusif (1984) dan Akta Laut Wilayah (2012).

“Sementara perbincangan mengenai perbezaan tafsiran persempadanan ini terus berlaku di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak melalui platform Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk mencari titik penyelesaian, Kementerian Ekonomi akan memastikan pembangunan kerangka undang-undang CCUS akan mengambil kira sebarang keputusan yang dipersetujui bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, platform MA63 yang disediakan khusus untuk membincangkan isu-isu berbangkit di antara Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak telah berjaya menyelesaikan banyak isu, katanya.

Rafizi berkata, dalam mesyuarat Majlis Tenaga Negara pada 2 Ogos lepas, Kerajaan Persekutuan mengambil maklum pendirian Kerajaan Sarawak yang dibentangkan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkenaan pembangunan kerangka undang-undang untuk mengawal selia industri CCUS.

“Ini termasuk perkara-perkara berhubung perbezaan tafsiran undang-undang mengenai sempadan negeri antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak turut memaklumkan sebarang urusan, terutama aktiviti perniagaan yang dijalankan di Sarawak, mesti mengambil kira dan menghormati hak dan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri itu.

- Bernama