Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes pelancong China dibunuh: Mahkamah arah hotel bayar RM700k pada balu

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Balu kepada seorang pelancong China yang mati dibunuh, dianugerahkan ganti rugi lebih RM700,000 selepas menang saman terhadap hotel tempat mereka menginap lima tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman yang difailkan wanita itu berhubung dakwaan kecuaian oleh seorang pekerja di hotel tersebut yang terletak di Bentong, Pahang.

Pada 16 Mei 2019, mangsa tiba di Malaysia dan mendaftar masuk di hotel itu. Hampir sebulan kemudian, dia berhubung dengan isterinya menerusi aplikasi WeChat dan memberitahu dia menang sejumlah wang di kasino.

Namun, dia tidak lagi membalas mesej isterinya sejak 11 Jun, menyebabkan wanita itu bimbang dan meminta bantuan seorang rakan yang ada bertemu mangsa di kasino tersebut.

Selepas digesa oleh kawannya itu, pihak keselamatan hotel memeriksa bilik dan mendapati mayatnya yang terikat dengan mulut disumbat, kira-kira pada pukul 7.55 pagi tiga hari kemudian.

Bedah siasat mendapati punca kematian lelaki itu adalah kesukaran bernafas, dengan kesan lebam dan lelas pada badan ekoran trauma daripada objek tumpul.

Polis kemudian menyiasatnya sebagai kes bunuh dan rompakan dan menahan dua suspek - warga Sri Lanka dan warga Pakistan.

Ketika mangsa tiada di bilik, suspek didakwa masuk ke bilik itu menggunakan kad akses.

Namun, tiada suspek yang dibawa ke mahkamah atas insiden itu.

Kecuaian dibuktikan

Dalam keputusannya, pesuruhjaya kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah berkata balu tersebut berjaya membuktikan kakitangan hotel cuai dengan membenarkan individu yang tiada kebenaran untuk masuk ke bilik hotel mangsa.

Ahmad juga mendapati hotel dan pemiliknya secara tidak langsung bertanggungjawab ke atas kecuaian pekerja.

Berdasarkan keterangan pekerja yang diberikan kepada polis, Raja Ahmad Mohzanuddin Shah berkata pekerja itu menggunakan akses kad miliknya untuk membuka bilik bagi pihak salah seorang suspek pada 10 Jun 2019.

Katanya lagi, pekerja itu melakukan perkara sama dua hari kemudian, dan tidak memastikan jika individu sama ada keluar dari bilik itu kemudian.

Tidak lama kemudian, katanya, mangsa masuk ke bilik dan keluar semula untuk bercakap dengan pekerja itu.

Namun pekerja itu tidak dapat memahami apa yang diperkatakan mangsa dan mangsa kemudian masuk ke bilik sekali lagi, katanya.

Raja Ahmad Mohzanuddin Shah berkata jelas pekerja telah membenarkan individu yang tiada kebenaran untuk masuk ke bilik mangsa sebanyak dua kali menggunakan kad aksesnya.

Ahmad berkata pekerja juga tidak mengesahkan jika individu itu memang pelanggan yang menginap di bilik itu.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 14 Mei, Raja Ahmad Mohzanuddin Shah mengarahkan pekerja, hotel dan pemilik hotel untuk membayar ganti rugi am RM200,000 dan RM500,000 lagi atas penderitaan yang dihadapi balu mangsa.

Dia juga mengarahkan ketiga-tiga defendan untuk membayar kos RM75,000 kepada wanita itu.

Namun, pihak defendan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan serta permohonan penangguhan hukuman di Mahkamah Tinggi, sementera menunggu keputusan rayuan.

[Baca berita asal]