Skip to main
Logo Malaysiakini

PM: Tesla rugi, tak mampu bersaing dengan EV China

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Tesla mengalami kerugian dan bergelut dengan persaingan sengit daripada pengeluar kenderaan elektrik (EV) China.

Bercakap kepada media, Anwar berkata bahawa Tesla memaklumkan demikian kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), yang diketuai oleh Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Operasi mereka di Thailand adalah besar, sedangkan kita baru nak mula.

“Itulah yang kami diberitahu, bukan daripada liputan (media) lain. Itu penerangan Tesla,” katanya ketika merasmikan Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada Rabu lalu, portal berita Thailand The Nation melaporkan bahawa Tesla telah membatalkan rancangannya untuk membina kilang pembuatan EV di negara Asia Selatan.

Laporan itu turut menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan.

Ia kemudian dijawab oleh Tengku Zafrul menerusi hantaran di platform X semalam yang menyatakan Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di Malaysia.

Dia menjelaskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ada mengadakan perbincangan dengan pengasas Tesla, Elon Musk, dalam usaha menarik pelaburan tetapi bukan membabitkan perkara itu.

Berita Tesla menubuhkan ibu pejabatnya di Cyberjaya pertama kali diumumkan oleh Anwar pada Julai tahun lalu.

Dia membuat pengumuman itu selepas mengadakan pertemuan secara maya bersama pemilik Tesla yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk.

Susulan pengumuman itu, Anwar memberitahu CNBC bahawa Malaysia juga sedang mengintai lebih banyak pelaburan berkaitan kenderaan elektrik.

[Baca berita penuh]