Skip to main
Logo Malaysiakini

Jazlan sedia letak jawatan jika benar terbabit jual kilang Felcra

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pengerusi Felcra Ahmad Jazlan Yaakub berkata dia sedia melepaskan jawatan sekiranya benar tuduhan yang dia terbabit dengan penjualan kilang milik agensi kerajaan itu.

Ahmad Jazlan menjawab tuduhan dilontarkan aktivis politik pembangkang ketika berkempen di PRK DUN Nenggiri berkata, dia juga sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata pengerusi Umno Kelantan itu satu laporan polis telah dibuat terhadap individu yang membuat tuduhan berkenaan terhadapnya.

"Saya cabar beliau buat laporan kepada SPRM. Ini berkaitan isu yang menuduh saya selama jadi pengerusi Felcra telah menjual kilang Felcra kepada pihak lain kononnya bukan bumiputera.

"Ia tak pernah berlaku, tak pernah sampai kepada meja saya, saya tak tahu tentang perkara ini. Kita ada dua mahkamah, pertama mahkamah dunia, kedua mahkamah akhirat. Jahat, nama (sahaja) parti islam.

"Saya tak tahu dalang siapa tetapi orang yang membuat tuduhan kepada saya semalam ada ceramah di Sungai Asap. Saya rasa rakyat Nenggiri cukup matang ini bukan isu Nenggiri. Cuma nak calar imej saya selaku pengarah operasi PRK," katanya ketika ditemui di Renok Baru, Gua Musang di Kelantann selepas Program Temu Mata.

Program Temu Mata itu antara Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dengan masyarakat tempatan.

Malam tadi dalam ceramahnya di Sungai Asap, Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard mendakwa terdapat kilang milik Felcra cuba ditukar milik kepada syarikat bukan bumiputera.

Kilang milik Felcra berkenaan dikatakan atas milik tanah kerajaan negeri.

Chegubard tidak menyatakan kilang apa secara khusus. Bagaimanapun akhbar web PAS Harakahdaily menyebutnya sebagai kilang sawit.

Skru kilang pun saya tak pernah jual

Sementara itu, Ahmad Jazlan berkata dia telah mengemukakan saman terhadap individu berkenaan, dipercayai merujuk kepada Badrul Hisham.

Dalam majlis itu juga Ahmad Jazlan turut melafazkan sumpah tidak terbabit dengan penyelewengan seperti didakwa selain mencabar pemimpin PAS untuk turut bersumpah.

"Kalau benda ini benar, pertama saya akan meletak jawatan saya sebagai pengerusi Felcra atau perdana menteri, timbalan perdana menteri boleh pecat saya sebagai pengerusi Felcra. Saya sedai disiasat dan sedia berdepan di mahkamah.

"Wallahi Wabillahi Watallah saya nak pemimpin PAS juga bersumpah bahawa sehingga hari ini, pagi Jumaat ini usahkan kilang, skru kilang sebiji tak pernah saya jual kepada mana-mana pihak," katanya lagi.