Skip to main
Logo Malaysiakini

Peruntukan Sabah: Jangan main politik picisan, kata PM

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Perdana menteri berkata dia terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak berkenaan peruntukan bagi Sabah dengan syarat ia dilakukan secara baik dan memahami isu tersebut.

Menurut Anwar Ibrahim, pihak yang membuat kecaman kepada kerajaan pusat sepatutnya boleh mengetahui isu berkenaan dengan menyeluruh, khususnya kerana sebelum ini mereka berada dalam kerajaan.

Katanya, Ronald Kiandee yang membangkitkan isu tersebut semalam patut faham berkenaan pengagihan peruntukan kepada Sabah kerana dia pernah menjadi bekas menteri.

“Saya dah baca teliti, jangan politikkan perkara itu.

"Kalau nak lagi, bincang secara elok, saya dah terangkan,” katanya ketika ditemui di Pusat Penjaja Tanglin, Kuala Lumpur hari ini sebelum menunaikan solat Jumaat di situ.

Semalan Ronald membidas Anwar berhubung peruntukan kerajaan persekutuan kepada Sabah yang didakwanya mengelirukan.

Ahli Parlimen Beluran itu mendakwa ketika mengumumkan peruntukan RM16 bilion kepada Sabah, Anwar gagal mengambil kira faktor bahawa, mengikut Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak mendapat tambahan 40 peratus daripada hasil persekutuan dan cukai dari negeri itu Sabah.

Cuba jadi juara

Dakwa Ronald, Anwar terlepas pandang mengenai jumlah perbelanjaan pembangunan kepada Sabah tidak boleh disamakan dengan pemberian wajib biasa kepada negeri-negeri lain (selain Sarawak).

“Nilai RM 16 bilion tersebut seharusnya diberikan kepada Sabah namun pemberian wajib 40 peratus (lagi) di bawah Perkara 112C masih tetap dan perlu diberikan kepada Sabah selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan," kata Ronald.

Mengulas lanjut, Anwar berkata peruntukan yang disebut sebelum ini hanyalah bagi tujuan pembangunan namun ia tidak difahami naib presiden Bersatu berkenaan.

"Maknanya pengurusan, pelaksanaan operasi, expenditure, itu harus ada dan saya masukkan kesemua. Itu pun tak masuk beberapa hal lagi Pan Borneo dan beberapa projek yang lain,” katanya.

ki

Ronald Kiandee

Menurut perdana menteri, kerajaan boleh memberi peruntukan yang dimaksudkan pihak pembangkang namun isu tersebut tidak patut dipolitikkan.

Dia juga percaya isu berkenaan dibangkitkan sekarang kerana Sabah bakal mengadakan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi dan Ronald cuba menjadi "juara" dengan mainan politik murahan.

“Jangan jadikan politik picisan, meraih (simpati) padahal semasa ada kuasa dulu, kamu diam... ikut saja.

"Mana dia MA63 masa kamu berkuasa (dalam keranaan PN)? Sekarang kita bincang, laksanakan sebanyaknya - (berkenaan) kuasa, tenaga, pendidikan, kesihatan, tambahan peruntukan, semuanya (dilaksanakan) sekarang.

“Saya nak tanya dia - semasa dia berkuasa, dia buat apa?” katanya.