Skip to main
Logo Malaysiakini

Wartawan Malaysiakini enggan dedah sumber ketika disoal siasat polis

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Polis hari ini memanggil tiga wartawan Malaysiakini berhubung satu laporan berita yang disiarkan portal itu, di mana pegawai penyiasat antara lain bertanyakan mengenai identiti sumber yang dipetik dalam artikel tersebut.

Bagaimanapun ketiga-tiga wartawan tersebut enggan mendedahkan identiti sumber berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, peguam yang mewakili ketiga-tiga mereka, Rajsurian Pillai berkata, sebanyak 27 soalan diajukan kepada setiap seorang daripada mereka.

“Antara soalan yang diajukan kepada mereka ialah siapa sumber mereka?

"Bagi kebanyakan soalan, mereka menjawab bahawa mereka hanya akan jawab di mahkamah," katanya selepas soal siasat berlangsung lebih sejam.

Tiga wartawan yang dipanggil polis itu ialah B Nantha Kumar, Hariz Mohd dan Shahrin Aizat Noorshahrizam.

Pada Selasa lalu, Malaysiakini menyiarkan artikel mengenai dakwaan bahawa PDRM merancang rombakan besar-besaran melibatkan pertukaran pegawai tertingginya, termasuk membabitkan Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Susulan itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain menyifatkan spekulasi mengenai rombakan itu sebagai "tidak benar" kerana tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Bukit Aman.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa kemudian mengesahkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 505(b) berkenaan dengan niat hendak menyebabkan, atau mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya seseorang itu mungkin terdorong melakukan kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam. Sabit kesalahan membawa kepada hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula berkenaan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar. Sabit kesalahan membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Hariz berkata mereka memberi kerjasama penuh kepada pihak polis ketika disoal siasat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada polis atas layanan mereka. Kami memberi kerjasama dan menjawab kesemua 27 soalan yang diajukan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Gerakan Media Merdeka (Geramm), Radzi Razak yang ditemui di luar IPD Dang Wangi berkata identiti sumber seharusnya dilindungi kerana ia sebahagian etika kewartawanan, termasuk yang ditetapkan oleh Jabatan Penerangan.

“Komitmen Malaysiakini untuk melindungi sumber mereka semasa disoal siasat menunjukkan keazaman mereka.

"Dan kami akan terus menyokong dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan prinsip ini. Orang ramai sering kurang memahami kerja media dan keperluan untuk melindungi sumber," tambah Radzi.

‘Tulis dengan tanggungjawab’

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menggesa pengamal media agar lebih bertanggungjawab ketika membuat laporan.

Menteri itu berkata demikian susulan kritikan oleh Geramm dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) semalam berhubung tindakan pihak berkuasa yang boleh mengancam hak wartawan untuk melindungi kerahsiaan identiti sumber yang tidak dinamakan.

“Saya tidak mahu sentuh spesifik kes kerana ia sudah dalam siasatan pihak polis cuma saya ingin tekankan daripada segi wartawan dan dunia kewartawanan, saya fikir penulisan berita yang bertanggungjawab adalah keutamaan kita.

“Maknanya, bila kita menulis mestilah disertai dengan pertanggungjawaban yang kita ada tanggungjawab dan akauntabiliti yang bukan hanya (tulis) untuk stesen atau syarikat media kita tetapi rakyat keseluruhannya,” katanya seperti dilapor Malaysia Gazette.