Skip to main
Logo Malaysiakini

Exco Selangor mahu individu serang wanita segera dikesan

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah berharap pihak berkuasa segera mengesan individu yang menyerang dua wanita di sebuah surau berhampiran sekolah agama rakyat di Kelana Jaya semalam.

Beliau berkata rumah ibadat dan sekolah seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk setiap rakyat.

Mohammad Fahmi berkata tindakan biadap dan intimidasi seperti itu hanya wajar dibalas oleh suatu respons yang segera, keras dan tegas oleh semua pihak berkuasa terlibat.

"Saya berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu segera melaporkan kepada pihak polis," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau pada masa sama turut mendoakan kedua-dua mangsa sembuh.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar mengesahkan kejadian yang berlaku kira-kira 1.30 tengah hari tadi dan memaklumkan pihaknya sedang giat mengesan suspek terlibat.

Kedua-dua mangsa berusia 20-an dan 50-an yang mengalami kecederaan kini dirawat di Hospital Shah Alam.

- Bernama