Taktik guna dron seludup dadah dalam penjara terbongkar
Polis merampas sebuah dron dipercayai digunakan untuk menyeludup dadah ke dalam Penjara Tapah dekat Ipoh, Perak, semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan satu unit dron di bumbung sebuah blok penjara ketika seorang sarjan penjara berkenaan membuat rondaan pada 11.30 pagi hari yang sama.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati terdapat beg dobi digantung pada dron itu yang didalamnya terdapat barang disyaki dadah.
"Siasatan awal mendapati terdapat satu peket plastik lutsinar mengandungi tiga peket plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 122 gram.
"Kita turut temukan dua peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 12.9 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azizi berkata modus operandi membawa masuk dadah ke penjara menggunakan dron kali pertama dilaporkan setakat ini.
"Polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama.
"Kita memandang serius sebarang aktiviti penyeludupan dadah apatah lagi ia melibatkan membawa masuk dadah ke dalam penjara dan satu siasatan menyeluruh akan dijalankan," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai