Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis berhak siasat, wartawan pula berhak lapor - Fahmi

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil mempertahankan pendiriannya polis mempunyai kuasa untuk menyiasat tetapi pada masa yang sama berkata wartawan pula berhak melaporkan berita.

Fahmi berkata kerajaan sentiasa komited untuk menghormati kod etika kewartawanan mengenai hak untuk melindungi sumber maklumat yang tidak dikenali, tetapi menegaskan petugas media perlu memberi kerjasama terhadap sebarang siasatan polis.

"Kalau kita rujuk kod etika kewartawanan yang telah diterbitkan (Kementerian Komunikasi) memang kita beri penegasan, wartawan mempunyai hak untuk kerahasiaan sumber, tak jadi masalah.

"Dalam masa yang sama, kita telah sebut pada masa ini, berikan kerjasama kepada pihak polis, kerana dari segi peraturan, jika ada laporan polis maka pihak polis perlu melakukan siasatan," katanya menjawab soalan media selepas melancarkan peserta konvoi Kembara Merdeka 2024 di Kuala Lumpur hari ini.

Menteri komunikasi memberi maklum balas terhadap isu tiga wartawan Malaysiakini yang disoal siasat di ibu pejabat polis Dang Wangi semalam berhubung laporan yang memetik sumber mengenai dakwaan rombakan besar-besaran kepimpinan tertinggi polis Bukit Aman.

Ketiga-tiga wartawan tersebut, B Nantha Kumar, Hariz Mohd dan Shahrin Aizat Noorshahrizam, dilaporkan enggan mendedahkan sumber maklumat mereka yang tidak mahu dikenali semasa sesi soal siasat selama lebih satu jam dengan pihak polis.


BACA BERKAITAN:

Wartawan Malaysiakini enggan dedah sumber ketika disoal siasat polis

Bukit Aman rancang pindahkan pegawai kanan polis?

Tiada kenyataan rasmi - IGP nafi pertukaran jawatan tertinggi polis

Siasat sumber berita: Fahmi gesa wartawan beri kerjasama pada polis


Kerajaan dikritik susulan siasatan polis terhadap wartawan Malaysiakini kerana memetik sumber yang enggan dinamakan dalam laporan beritanya.

Antaranya daripada Gerakan Media Merdeka (Geramm), Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) dan tokoh wartawan negara Johan Jaafar yang mengeluarkan kenyataan mempertahankan wartawan berkenaan.

Ketika ditanya bagaimana perkara semalam akan mempengaruhi kedudukan kebebasan media Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia, Fahmi berkata indeks prestasi itu bersifat relatif.

Dia merujuk kepada indeks kebebasan akhbar Reporters Without Borders (RSF).

"Jika kita berada pada paras yang sama dari segi metrik, jika ada negara lain yang menunjukkan kemajuan, kita corot dalam ranking.

"Jadi, ranking tidak mencerminkan apa yang sebenarnya berlaku dalam negara, sebaliknya semua yang berlaku di seluruh dunia," jelasnya.

Indeks kebebasan akhbar Malaysia merosot ke tangga ke-107 tahun ini, berbanding ke-73 tahun lalu, kejatuhan sebanyak 34 anak tangga.

Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 melaporkan bahawa skor Malaysia berada pada 52.07 mata berbanding 62.83 tahun lalu.

Tahun lalu, Malaysia menyaksikan lonjakan ketara sebanyak 40 tempat ke kedudukan ke-73 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia, naik daripada kedudukan ke-113 pada tahun 2022 (51.55 mata).