Skip to main
Logo Malaysiakini

PRK Nenggiri: Orang Asli Kuala Lah mahu isu longgokan sampah ditangani

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Ketiadaan kemudahan tong sampah besar dan berkunci menjadi punca berlakunya pembuangan sehingga wujud longgokan sampah di sepanjang laluan Jalan Kuala Lah ke Jerek yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Orang Asli (JKKKOA) Kuala Lah Ayob Daun berkata masalah longgokan sampah itu membelenggu lebih 400 penduduk Kampung Orang Asli Kuala Lah yang berharap ia dapat diselesaikan wakil rakyat baru akan dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, 17 Ogos ini.

Beliau berkata masalah sampah itu telah berlaku sejak dua tahun lepas dan aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dibuat, namun sehingga kini belum ada sebarang tindakan menyediakan tong sampah dibuat.

"Sampah ini dilonggokkan dan berterabur memandangkan tiada tong sampah khas disediakan oleh PBT. Apa yang menyedihkan, sampah yang dibuang oleh dua kampung berdekatan termasuk Kuala Lah 1 dan Kuala Lah 2 berterabur berikutan binatang seperti kera dan anjing liar datang menyelongkar sisa sampah.

"Jalan ini ialah laluan utama untuk ke Jerek. Jika sisa sampah bersepah di tengah jalan, ia boleh mengganggu perjalanan kenderaan selain mengancam keselamatan pengguna,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ayob berkata dengan penyediaan tong sampah besar berkenaan, ia membolehkan penduduk mempunyai tempat khas untuk membuang sampah dan pada masa sama, kebersihan serta kesihatan penduduk lebih terjamin.

- Bernama