Skip to main
Logo Malaysiakini

Penjenayah cuba rempuh polis, lima das tembakan dilepaskan

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke arah dua kenderaan dinaiki empat penjenayah selepas mereka bertindak agresif melanggar kereta peronda polis di Jalan Pekan Batu 11 di Balakong dekat Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata dalam kejadian pada 6.05 pagi itu, penjenayah yang menaiki kereta Nissan Frontier dan BMW sengaja cuba melanggar kereta peronda polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang yang sedang melakukan operasi mencegah kegiatan mencuri kabel.

“Keadaan itu menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kedua-dua kenderaan yang dinaiki kumpulan penjenayah berkenaan dan menahan empat suspek berusia antara 28 hingga 36 tahun,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ni.

Bagaimanapun, kesemua anggota polis tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod kes jenayah dan dadah.

Naazron berkata polis turut menemukan pelbagai peralatan mencuri kabel dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379/511.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hadir ke balai polis yang berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat kes ASP Mohd Afiq Farhan Mohd Nordi talian 012-2446768 bagi membantu siasatan,” katanya.

- Bernama