Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib ucap selamat hari lahir pada Anwar

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak menyampaikan ucapan selamat hari lahir kepada Anwar Ibrahim.

"Selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke-77 kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Semoga dipermudahkan segala urusan, terus diberkati dan sentiasa dalam lindungan-Nya," katanya pada hantaran di media sosial.

Najib, 70, sedang menjalani hukuman penjara di Kajang selepas gagal dalam usaha terakhirnya pada Mac tahun lalu menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana anak syarikat 1MDB, SRC International.

Pada 2 Februari lalu, Lembaga Pengampunan membuat keputusan untuk mengurangkan hukuman tersebut kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Bagaimanapun, Najib boleh dibebaskan lebih awal atas "kelakuan baik" pada Ogos 2026 selepas menjalani dua pertiga dari tempoh hukuman penjara.

Terdahulu Pejabat Perdana Menteri (PMO) memuat naik video selama 2 minit 49 saat yang mengandungi ucapan hari jadi daripada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan para menteri Kabinet.

Dalam perkembangan berkaitan, para pemimpin asing juga tidak ketinggalan menyampaikan ucapan hari jadi kepada perdana menteri antaranya Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong

"Banyak yang boleh kita lakukan bersama sebagai jiran dan sahabat baik. Jadi, saya doakan anda banyak kurniaan di hari istimewa ini.

“Nikmatilah hari bahagia ini bersama keluarga, sahabat dan orang yang tersayang. Selamat Hari Jadi,” katanya.

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr pula menghantar ucapan ulang tahun kepada Anwar melalui pesanan video yang dimuat naik di laman Malaysia Madani di X.

“Persahabatan kita telah membantu menjadikan cabaran kepemimpinan lebih terasa ringan. Kadang-kadang saya berani katakan, malah menyeronokkan. Bagi saya, anda lebih daripada sekadar jiran di Asean, anda adalah sahabat yang dipercayai, yang saya kongsikan banyak kenangan indah.

“Pada tahap ini dalam hidup kita, kita telah diberi tanggungjawab untuk memimpin negara masing-masing dan memainkan peranan penting di rantau ini dan di komuniti antarabangsa yang lebih luas.

"Dedikasi anda yang tidak berbelah bahagi kepada Malaysia dan visi bersama kita untuk rantau ini telah menjadi sumber inspirasi,” katanya.