Dron seludup dadah: Jabatan Penjara kerjasama Mosti
Jabatan Penjara Malaysia telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dalam menghadapi ancaman pencerobohan dron bagi tujuan Penyeludupan Artikel Larangan ke dalam penjara oleh orang awam.
Komisioner Jeneral Penjara Jabatan Penjara Malaysia Datuk Seri Nordin Muhamad dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Sistem Anti-Dron dan peralatan pemintas teknologi tempatan telah dibangunkan dan sedang diperluaskan ke seluruh institusi penjara.
“Jabatan Penjara Malaysia sememangnya menyedari ancaman pencerobohan dron bagi tujuan Penyeludupan Artikel Larangan ke dalam penjara oleh orang awam.
“Jabatan ini sentiasa bersiap siaga dan institusi-institusi penjara berisiko termasuk Penjara Tapah telah dilengkapi dengan Sistem Anti-Dron dan peralatan pemintas bagi mencegah perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Penjara Malaysia juga sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti penubuhan task force bagi mengekang ancaman pencerobohan ini dari masa ke semasa.
“Jabatan ini akan terus komited dalam memastikan keselamatan penghuni serta komuniti terjamin dari pelbagai jenis ancaman yang boleh memudaratkan,” katanya.
Semalam, taktik licik pengedar dadah cuba menyeludup dadah dengan menggunakan dron ke Penjara Tapah di Perak gagal selepas peralatan itu ditemui oleh petugas penjara semasa membuat rondaan.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris dilaporkan berkata petugas penjara menemukan beg digantung pada dron di atas bumbung blok banduan di penjara tersebut.
Menurutnya dalam beg tersebut terdapat satu plastik berisi tiga peket serbuk putih disyaki heroin seberat 122 gram dan dua peket plastik berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 12.9 gram.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai