Tak wajar sebar Islam di rumah ibadat bukan Islam - MCCBCHST
Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) tidak bersetuju dengan pendapat Mufti Terengganu Mohamad Sabri Haron bahawa umat Islam dibenarkan memasuki tempat ibadat bukan Islam tujuan untuk menyebarkan dakwah dan syariat Islam.
Kumpulan itu berkata tempat ibadat bukan Islam seperti masjid juga merupakan tempat untuk penganut agama tertentu berkumpul dan berdoa mengikut kepercayaan serta amalan masing-masing.
"Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada setiap kumpulan agama untuk menganut dan mengamalkan agama mereka dan tertakluk kepada klausa (4) untuk menyebarkannya.
"Klausa (4) membenarkan undang-undang Negeri dan undang-undang Persekutuan 'mengawal dan menyekat penyebaran sebarang doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam'.
"Oleh itu, Klausa (4) menyediakan perlindungan undang-undang kepada umat Islam dengan mengawal atau menyekat apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain kepada mereka.
"Klausa (4) tidak boleh ditafsirkan sebagai membenarkan umat Islam menyebarkan agama mereka kepada bukan Islam kerana tiada peruntukan sedemikian dalam perlembagaan.
"Klausa (4) membincangkan tentang perlindungan 'orang yang menganut agama Islam'. Ia tidak membincangkan tentang penyebaran agama di tempat ibadat bukan Islam," kata kumpulan itu pada satu kenyataan.
Maklum balas MCCBCHST ini selepas kenyataan mufti Terengganu dilaporkan media tempatan berkata umat Islam tidak boleh pergi ke rumah ibadat agama lain tanpa tujuan.
"Datang memperkenalkan Islam dan untuk berdakwah, dibolehkan. Bukan tujuan menyatakan Islam sama dengan agama lain,” kata Mohamad Sabri.
Sementara itu, MCCBCHST berkata tindakan menyebarkan Islam ke rumah ibadat bukan Islam boleh mengakibatkan gangguan ketenteraman.
"Cadangan Mufti Terengganu boleh membawa kepada prasangka, ketidakharmonian, kebencian, permusuhan dan sebagainya di kalangan agama yang berbeza," kata kumpulan itu.
Kenyataan MCCBCHST tersebut ditandatangani bersama oleh Presidennya Dao Zhang Tan Hoe Chieow, Naib Presiden Archbishop Julian Leow Beng Kim, Naib Presiden Venerable Chuan Yuan, Naib Presiden Ganesh Babu Rao dan Naib Presiden Sardar Jagir Singh.
Kumpulan itu berkata Kanun Keseksaan menghalang penyebaran agama Islam ke rumah ibadat bukan Islam, memetik:
(i) Seksyen 298 - melukakan hendak melukakan perasaan agama seseorang.
(ii) Seksyen 298 A - menyebabkan, dan sebagainya, di atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau memudaratkan, dan sebagainya, pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
(iii) Seksyen 505 (c) - Kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam; dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.
"Oleh itu, MCCBCHST menyeru Mufti Terengganu untuk menghormati hak semua individu dan mematuhi tafsiran yang betul mengenai Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.
"Semua rumah ibadat tempat suci. Setiap agama mempunyai hak untuk menguruskan urusan mereka sendiri.
"Jika tujuan memasuki tempat ibadat untuk memupuk perpaduan dan mempromosikan hubungan serta pemahaman antara agama, maka ia patut dialu-alukan.
"Tetapi jika tujuan lawatan untuk menyebarkan agama sendiri di tempat ibadat agama lain, maka ia tindakan yang menyinggung perasaan dan boleh menjejaskan kesucian tempat ibadat serta menyebabkan ketidakharmonian.
"Setiap kumpulan agama berhak untuk melarang mana-mana kumpulan agama lain daripada menyebarkan agama mereka di tempat ibadat mereka," kata MCCBCHST.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai