Skip to main
Logo Malaysiakini

MTUC gesa k'jaan tetapkan gaji minima baru

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan supaya tidak melengahkan pengumuman kadar baru gaji minima membabitkan pekerja sektor swasta.

Kali terakhir kerajaan menyemak semula kadar gaji minima pada Mei 2022 ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.

Ketika itu Putrajaya menaikkan kadar gaji minima daripada RM1,200 kepada RM1,500 untuk syarikat swasta yang mempunyai lima orang pekerja dan ke atas.

Timbalan Presiden MTUC Matkar Siwang berkata penantian kadar gaji minima baru telah meresahkan golongan pekerja swasta.

Jelasnya, perdebatan kadar gaji minima baru semakin hangat apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam.

“Kadar gaji minima baru seharusnya mengambil kira pelbagai faktor termasuk kos sara hidup yang semakin menekan pekerja bawahan.

“Kadar gaji minima sekarang sebanyak RM1,500 tidak munasabah dan tidak relevan di sebabkan oleh peningkatan kos barangan.

"Seseorang pekerja yang di bayar gaji minima sekarang akan membawa pulang pendapatan bersih sebanyak RM1,330 setelah di tolak caruman wajib,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Anwar dijangka mengumumkan butiran mekanisme pelarasan gaji kakitangan awam pada majlis Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 yang dijadualkan pada 16 Ogos ini.

Tambah Matkar, pekerja swasta terpaksa bekerja berterusan sama ada kerja lebih masa atau melakukan kerja sampingan selepas waktu kerja sebenar bagi menambah pendapatan.

Katanya, pendapatan bersih RM1,330 yang dibawa pulang itu rendah dan ia salah satu punca menyebabkan keseimbangan hidup dan kerja (work life balance) Malaysia kedua terburuk di kalangan 60 negara.

“Kerajaan boleh merujuk beberapa kajian yang telah di buat bagi menetapkan kadar baru gaji minima.

"Beberapa kajian yang di buat seperti Bank Negara Malaysia, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menunjukkan gaji yang sesuai adalah melebihi RM2000.

“Kerajaan tidak boleh melengahkan pengumuman kadar baru gaji minima. Keprihatinan kerajaan ditagih untuk membuat keputusan yang baik bagi pekerja swasta.

“Kemampuan kewangan golongan pekerja bawahan menyeksakan bagi mengharungi kehidupan mendatang jika tiada kenaikan gaji,” katanya sambil menegaskan kadar gaji minima baru akan menceriakan pekerja swasta selain mengimbangi antara pendapatan dan pembelanjaan.