Skip to main
Logo Malaysiakini

Mesyuarat jawatankuasa pemilih DUN tentukan status Adun Rembia

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih DUN akan diadakan bagi menentukan status sebenar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis, kata Speaker DUN Melaka Datuk Ibrahim Durum.

Beliau berkata mesyuarat itu akan diadakan selewat-lewatnya Jumaat depan dan setakat ini Muhammad Jailani masih dianggap sebagai ahli Barisan Nasional (BN).

“Saya tak boleh dengar cakap orang….yang dakwa dia (Muhammad Jailani) jadi ahli parti (PAS) itu adalah daripada pemimpin parti itu sendiri.

“Saya memikirkan saya kena bawa (perkara ini) ke Mesyuarat Jawatankuasa Pemilih DUN untuk kami putuskan kedudukan saudara Jailani dan selepas itu kita akan tahulah tindakan apa yang harus dibuat oleh DUN berdasarkan kepada keputusan mesyuarat tersebut,” katanya di Jasin hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’ Bendang Melaka 2024 di Kem Benteng Negara, Sungai Rambai yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Pada 16 Julai lepas, Setiausaha Agung PAS yang juga Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media di bangunan Parlimen mengesahkan Muhammad Jailani, yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO, telah diterima menjadi ahli parti itu pada 10 Jun 2023.

Takiyuddin mendakwa tindakan Muhammad Jailani tidak dianggap sebagai lompat parti kerana Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan perkara itu diluluskan pada 31 Julai 2023 selepas ADUN Rembia itu menyertai PAS.

Berdasarkan surat Lembaga Disiplin UMNO bertarikh 28 Ogos 2023, Muhammad Jailani didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana sengaja hadir ke majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Keahlian Muhammad Jailani dalam UMNO digantung selama enam tahun.

- Bernama