Polis sahkan video culik kanak-kanak di Labu palsu
Polis mengesahkan klip video yang tular di laman sosial memaparkan insiden cubaan menculik kanak-kanak dengan mengumpan wang RM100, adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata penelitian polis terhadap video yang dimuat naik menerusi laman sosial pada 9.20 malam tadi mengenai kejadian itu yang kononnya berlaku di sebuah taman perumahan di Labu, di Seremban mendapati ia tidak benar.
"Siasatan telah dijalankan dan kita dapati kejadian itu tidak berlaku seperti yang tular, dan tidak ada sebarang laporan polis mengenai kehilangan kanak-kanak di kawasan Labu bagi tempoh Januari hingga bulan ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap pemilik akaun yang memuat naik video tersebut yang boleh menggugat keamanan awam.
Justeru Abdul Malik menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan tidak benar di laman sosial terutama yang boleh menyebabkan kegusaran atau mengganggu ketenteraman awam.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai