Skip to main
Logo Malaysiakini

Dasar penggantian kenderaan logistik akan diperkenal - Loke

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan dasar berkaitan penggantian kenderaan perkhidmatan logistik dalam masa terdekat, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pihaknya sedang melakukan kajian berhubung dasar itu yang melibatkan aspek keselamatan pengguna jalan raya.

"Memang kita hendak menggalakkan pembelian trak baharu, jadi dasar yang lebih jelas akan dikeluarkan supaya sektor swasta terutamanya syarikat-syarikat logistik dan syarikat pengangkutan berminat untuk melabur dalam trak-trak yang baharu.

"Dasar itu memang kita sedang buat kajian sekarang, bagaimana cara untuk kita beri galakan supaya perkara ini dapat dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program ESG Kumpulan Careplus sempena pemasyuran kilang pemasangan kenderaan elektrik dan Careplus Mall, yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon di Rembau hari ini.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata beliau akan mengumumkan berhubung pelaksanaan dasar itu dengan lebih terperinci dalam masa terdekat.

- Bernama