Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kalau Radzi nak jadi hero, sila cakap pasal isu balak Kelantan'

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pengerusi BN Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub membidas Naib Presiden Bersatu, Mohd Radzi Md Jidin yang menyindir pengumuman Kementerian Kewangan (MOF) tentang usaha menyediakan mesin juruwang automatik (ATM) kepada masyarakat Nenggiri.

Ahmad Jazlan mendakwa keperluan ATM kepada masyarakat Nenggiri telah lama diperjuangkan calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani ketika menjadi pembantu kepada wakil rakyat DUN Nenggiri sebelum kerusi itu dimenangi wakil Perikatan Nasional (PN).

Katanya, jika Mohd Radzi ingin menjadi hero, dia sepatutnya bersuara mengenai isu balak di Kelantan yang merupakan antara permasalahan rakyat utama di negeri ini.

"Kalau dia persoal kenapa sekarang baru nak buat ATM, saya nak tanya Radzi Jidin balik kenapa dia mesti membeli calon dari PAS untuk dijadikan ‘mualaf’ dalam Bersatu, tak ada ke orang Bersatu yang berkaliber? Adakah Bersatu Gua Musang langsung tak ada tokoh terpaksa membeli permain import dari PAS?

"Dia sentiasa menjuarai masalah rakyat, kalau bukan PRK kali ini pun Awie akan suarakan kehendak rakyat yang inginkan kemudahan ATM.

"Cadangan nak bina ATM ini diusahakan sebelum PRK lagi, tapi kebetulan PRK dan kebetulan dia jadi calon, saya yakin kalau dia tak jadi calon sebagai pemimpin parti berkhidmat kepada rakyat dan masyarakat Awie akan melaksanakan tanggungjawab semampu dia boleh," katanya dalam pertemuan bersama media Gua Musang, Kelantan.

Sebelum ini Mohd Radzi yang juga pemimpin PN membidas BN yang dikatakan gagal menyediakan ATM meskipun telah menguasai Nenggiri sejak puluhan tahun.

Mohd Radzi berkata, pengumuman kerajaan mengenai penyediaan perkhidmatan ATM hanya dilakukan ketika kempen pilihan raya.

"Belum pernah terjadi dalam sejarah negara bahawa Kementerian Kewangan (MOF) kena buat kenyataan rasmi bahawa nanti akan ada mesin ATM untuk keluarkan duit di Nenggiri.

"Cuba semak sejarah mana pernah berlaku MOF sendiri cakap bahawa nanti orang Nenggiri akan dapat mesin ATM," kata Radzi.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan beritahu Mohd Radzi banyak isu lagi yang boleh dimainkan pemimpin Bersatu itu selain ATM.

"Beritahu Radzi jidin banyak lagi isu dia boleh main, isu balak isu rakyat tak selesai, hari ini cakap soal tanah, mengapa musim PRK baru nak beri tanah kepada rakyat.

"Berkata tanah beribu ekar di Gua Musang kepada syarikat asing boleh datang PRK, Radzi perlu jaga Putrajaya sahajalah, dia tak tahu masalah nenggiri tak payah nak jadi juara di sini.

"Sebelum ini dia tinggal di luar negara, dia tak tahu masyarakat rakyat Kelantan," katanya.