Skip to main
Logo Malaysiakini

Amirudin lebih selesa jadi MB Selangor berbanding menteri kabinet

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Amirudin Shari berkata dia lebih selesa kekal sebagai Menteri Besar Selangor berbanding dilantik menjadi menteri kabinet di peringkat kerajaan persekutuan.

"Untuk kelangsungan perancangan negeri Selangor, saya 'prefer' untuk terus kekal sebagai menteri besar sebab saya nak pastikan semua Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dapat disampaikan kepada rakyat, apa yang kita janji dapat dilaksanakan.

"Kalau tiada penyesuaian berlaku, ia memberi kesan prestasi negeri dan parti, itu pada pandangan saya.

"Tetapi sebagai ahli parti yang patuh, kita akan cuba mengikut dan melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan kepada saya pada hari ini dan masa depan," katanya kepada pemberita di Shah Alam, hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media memetik sumber mendakwa dia bakal dilantik menjadi menteri penuh di peringkat kerajaan pusat.

Laporan itu mengiringi dakwaan bakal berlakunya rombakan kabinet di peringkat pusat tidak lama lagi dengan Amirudin akan menggantikan seorang menteri dari PKR.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semalam berkata, dia "belum mendengar" sebarang rancangan untuk merombak kabinet yang ada sekarang.

"Siapa nak tolong reshuffle (rombakan) tu? Saya tak dengar, serius ni, saya belum dengar," katanya semalam.

Amirudin berkata, dia juga tidak mengetahui niat di sebalik khabar angin itu, yang berulang kali ditimbulkan.

"Saya tidak tahu apa niat berita ini, tetapi kalau ikut laporan-laporan sebelum ini, sudah lama saya tidak jadi menteri besar," katanya.

Katanya, sebagai ahli yang patuh, dia akan akur dengan apa yang dipertanggungjawabkan pucuk pimpinan parti pada masa depan.