Skip to main
Logo Malaysiakini

Puad: K'jaan wajib haramkan komik BRI

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Umno mesti terus mendesak pengharaman semula komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI) tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi mendakwa komik itu "mengagungkan" bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Ong Boon Hua, yang lebih dikenali dengan nama samaran Chin Peng dan menyebarkan ideologi komunis.

"Rakyat kecewa keputusan KDN batal larangan mencetak dan mengedar komik milik superman Hew ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada 8 Disember 2022. Kerajaan wajib cari jalan supaya larangan itu diteruskan.

"Komik itu jelas mengagungkan Chin Peng bekas pemimpin Parti Komunis Malaya. Ia jarum halus sebar komunisme. Ramai anggota keselamatan korban perjuangan bersenjatanya," tulis Puad di Facebook pagi ini.

Gambar fail, penulis komik BRI Hew Kuan Yau.

Puad menegaskan komunis terus menentang kerajaan walaupun selepas negara mencapai kemerdekaan.

"Ideologi komunis menolak Raja Raja Melayu. Ia ancam kestabilan.

"Perjanjian damai bukan bermakna ancaman fahaman komunis yang anti Raja Raja Melayu berakhir. Umno wajib membantah keras," kata Puad yang juga speaker DUN Johor itu.

Perjanjian Damai Hat Yai dimeterai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Disember 1989 membawa kepada pembubaran parti itu dan menamatkan konflik bersenjata sejak darurat Inggeris pada 1948.

Untuk rekod, komik BRI itu tidak menyebut mengenai perjuangan PKM mahupun Chin Peng.

Komik BRI diterbitkan untuk memperingati ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia, dilaporkan menggambarkan China dan inisiatif Jalur dan Jalan secara positif manakala menggambarkan dunia Barat dengan negatif.

Komik itu kelihatan menonjolkan Presiden China Xi Jinping dan inisiatif BRI.

Pembatalan larangan komik BRI terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, yang bertarikh 6 Ogos.

KDN sebelum ini berkata larangan terhadap komik yang diterbitkan dalam tiga bahasa itu - Melayu, Inggeris, dan Cina - kerana mengelirukan pembaca serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Selain itu, antara bahagian kontroversi yang terdapat dalam komik berkenaan adalah menyifatkan orang Malaysia yang bersimpati dengan etnik Uighur di China - yang dikatakan ditahan di "kem pendidikan semula" oleh Beijing - sebagai "radikal".

Dalam perkembangan berkaitan isu komik BRI ini, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata walaupun pihaknya menghormati keputusan mahkamah untuk menarik balik larangan buku itu namun tidak bermakna dia bersetuju dengannya.

"Bagi mengelakkan ketidakadilan kami mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan ini selaras dengan kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan dibawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

"Walaupun keputusan mahkamah rayuan pada 26 Julai 2022 yang ketika itu kerajaan memerintah adalah kerajaan BN-PN memutuskan bahawa komik ini tidak menjejaskan kententeraman awam dan permohonan kerajaan untuk kebenaran merayu kepada mahkamah persekutuan untuk mengembalikan larangan terhadap penerbitan komik ini gagal pada 8 Disember 2022.

"Siapa sekalipun kerajaan, sensitiviti majoriti rakyat Melayu Islam perlu diutamakan dan dipelihara untuk menjamin kestabilan negara ini," tulisnya pada hantaran Facebook malam tadi.

Semalam, pemimpin PAS juga mengecam tindakan kerajaan untuk menarik balik larangan buku itu dan menyoal Umno kerana membisu mengenai perkara tersebut.

Pada 2019, Kementerian Dalam Negeri melarang buku komik Hew atas alasan kandungannya bersifat prejudis terhadap ketenteraman awam.

Hew telah memfailkan semakan kehakiman terhadap tindakan tersebut tetapi Mahkamah Tinggi menolak permohonannya pada April 2021.

Bagaimanapun pada 26 Julai lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa buku komik BRI tidak mengandungi bahan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Malah, menurut keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang bersidang, tiada kejadian tidak diingini berlaku di Malaysia dalam tempoh enam bulan sebelum KDN mengharamkan buku tersebut.

Pada 8 Disember 2022, media melaporkan kerajaan persekutuan gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula larangan ke atas penerbitan komik berkenaan.