Skip to main
Logo Malaysiakini

Geran tanah: Ku Li dakwa kerajaan negeri sengaja lengahkan

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

PRK NENGGIRI | Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, mendakwa agensi kerajaan pusat tidak bersalah dalam kelewatan pemberian geran kepada peneroka tanah rancangan termasuk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Sebaliknya menurut bekas ahli Parlimen Gua Musang itu, kerajaan negeri Kelantanlah yang melewatkan urusan pengeluaran geran kepada peneroka terbabit.

"Sekarang kita (kerajaan pusat) tak boleh bagi geran (kepada peneroka), kerajaan negeri berlengah tak mahu selesaikan.

"Itu tak boleh salahkan kita, (tapi) kalau pilih kita jadi kerajaan negeri tahun depan kita boleh selesaikan," katanya ketika ditemui di Kampung Jeram Tekoh, Gua Musang, hari ini.

Isu pemilikan tanah peneroka Kesedar menjadi polemik utama ketika kempen PRK DUN Nenggiri semakin menuju kemuncaknya sebelum penduduk setempat keluar untuk mengundi pada Sabtu ini.

Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Daud, sebelum ini menegaskan isu tanah peneroka Kesedar hanya boleh diselesaikan oleh kerajaan negeri, manakala Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pula menegaskan tanah Kesedar adalah milik agensi itu.

Kata Ahmad Zahid, Kesedar mempunyai hak untuk mengagihkan tanah kepada penerokanya kerana tanah-tanah berkenaan atas nama agensi berkenaan.

Sementara itu, ditanya mengenai calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li yakin anak buahnya itu mampu merampas kembali kerusi DUN Nenggiri daripada PN.

Ku Li juga yakin Mohd Azmawi ataupun Awie mampu melaksanakan tugas dengan baik jika dipilih.

"Calon kita (BN) dari segi asuhan, dia sudah melalui proses pembelajaran... jadi tidak ada yang baru ataupun asing bagi dia (untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat).

"Saya berani kata dia akan jadi wakil rakyat yang baik. Berkhidmat untuk rakyat," katanya.