Skip to main
Logo Malaysiakini

PAU 2024 hanya akan libatkan Umno dan wakil komponen BN

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang akan berlangsung dari 21 hingga 24 Ogos ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hanya melibatkan keluarga besar UMNO dan wakil komponen Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu telah dipersetujui secara bersama di peringkat tertinggi dalam Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Kita dah bincang di peringkat Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan untuk tahun kedua kita bersama dalam Kerajaan Perpaduan ini, Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan secara keluarga UMNO sahaja, kerana tahun pertama dah jemput (parti lain). Insya-Allah mungkin tahun sebelum pilihan raya, kita jemput semula.

“Kali ini kita nak memberikan ruang seluas-luasnya kepada keluarga besar UMNO untuk berbincang secara kekeluargaan dan dalaman. Jadi, tidak ada pemimpin utama parti (lain) datang kali ini,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur, semalam.

Mengenai kelainan perhimpunan tahun ini, Asyraf Wajdi berkata edisi kali ini akan melibatkan penganjuran Eksplorasi TVET merangkumi peluang kerjaya dan pendidikan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menzahirkan komitmen UMNO sebagai parti yang mempelopori agenda TVET negara.

“Ia sebagaimana yang dizahirkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengarusperdanakan dasar TVET kerana ia mustahak untuk diuar-uarkan secara besar-besaran.

“Kita akan ada rancangan bual bicara dan konsultasi percuma berkenaan latihan yang boleh diceburi masyarakat dan peluang kerjaya yang ditawarkan kerana ini semua ada nilai yang tinggi dalam konteks ekonomi,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, seramai 6,433 perwakilan akan menghadiri perhimpunan tahun ini dan antara isu yang dibawa untuk perbahasan melibatkan agenda rakyat, Melayu dan Bumiputera.

Mengenai kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah pula, beliau berkata perkara itu tidak akan dibahaskan kerana melibatkan strategi politik.

- Bernama