Isu komik BRI: Hormati keputusan mahkamah - Fahmi
Kerajaan menghormati keputusan mahkamah berhubung penarikan larangan buku komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI), tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yaw.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata walaupun pendapat setiap orang dihargai namun keputusan yang dibuat oleh sistem kehakiman di negara ini mesti dipatuhi.
"Ia berdasarkan satu keputusan mahkamah. Jadi kita hormat.
"Sama ada secara individu, mana-mana pihak setuju atau tidak itu hak masing-masing," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Kenyataan Fahmi dibuat di tengah-tengah perbezaan pendapat beberapa pemimpin Umno dan DAP mengenai keputusan mahkamah tersebut.
Terdahulu hari ini, Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh mengkritik Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok kerana mempertahankan penarikan larangan tersebut. Teresa menuduh mereka yang menentang keputusan mahkamah sebagai tidak menghormati keputusan itu.
Ini selepas Teresa yang menyifatkan seruan Akmal dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, untuk terus membantah penarikan larangan tersebut sebagai penghinaan terhadap mahkamah dan usaha untuk menyekat kebebasan bersuara.
Wakil rakyat DAP itu berkata Akmal dan Puad sepatutnya menghormati kebebasan badan kehakiman dan keputusan yang telah dibuat, bukannya meminta kerajaan melawan perintah mahkamah dan cuba kembali kepada pemerintahan bercorak kuku besi.
Semalam, Puad menggesa kerajaan untuk mencari cara meneruskan larangan terhadap buku itu manakala Akmal mencadangkan supaya semakan kehakiman difailkan terhadap keputusan yang menolak larangan tersebut.
Penarikan balik larangan itu telah diterbitkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada hari Isnin, yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Kementerian Dalam Negeri mengumumkan larangan terhadap buku itu pada 23 Oktober 2019. Pada 26 April 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Hew untuk membatalkan larangan tersebut.
Pada 6 Julai 2022, Mahkamah Rayuan membenarkan semakan Hew untuk membatalkan larangan itu. Kemudian pada 8 Disember 2022, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Kementerian Dalam Negeri, sekaligus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai