MCA kesal T'ganu sekat atlet gimnastik wanita ke Sukma 2024
Pemimpin MCA kesal dengan keputusan kerajaan Terengganu yang dianggap mundur apabila tidak menghantar atlet gimnastik wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Naib Presidennya Wee Jeck Seng menyifatkan langkah itu bercanggah dengan imej 'progresif' Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.
Dia turut melahirkan kebimbangan mendalam dengan perkembangan terkini membabitkan larangan terhadap atlet gimnastik wanita dan larangan penyanyi wanita membuat persembahan secara terbuka yang menjadi kontroversi, baru-baru ini.
"Tindakan itu bukan sahaja menunjukkan kurang rasa hormat terhadap wanita tetapi juga mewakili kemunduran yang ketara kepada kemajuan sosial dan ekonomi.
“Negeri-negeri seperti Terengganu dan negeri-negeri pimpinan PAS lain jauh ketinggalan dari segi kemajuan ekonomi dan pembangunan, yang bukannya kebetulan tetapi mencerminkan gaya pemerintahan mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kelmarin Malaysiakini melaporkan Terengganu menjadi satu-satunya negeri di bawah pentadbiran PN yang tidak menghantar atlet wanita gimnastiknya menyertai temasya Sukma Sarawak 20204.
Tiga lagi negeri yang diterajui PAS iaitu Kelantan, Kedah dan Perlis bagaimanapun tidak mengikut langkah Terengganu.
Tahun lalu Malaysiakini melaporkan beberapa atlet gimnastik wanita yang mewakili Terengganu melahirkan rasa kecewa susulan langkah itu namun mereka dicadangkan bertukar ke acara sukan wushu.
Kali terakhir Terengganu menghantar atlet gimnastik wanita ialah pada Sukma 2022 melalui Tok Exin yang kini sudah meninggalkan sukan itu.
Sementara itu Wee berkata Ahmad Samsuri sering dilihat sebagai tokoh 'progresif' PAS malah disebut-sebut sebagai calon perdana menteri namun penampilan itu perlu dinilai dengan keputusan diambil pentadbirannya.
Wee juga memetik statistik 2022 Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Terengganu berjumlah RM36.9 bilion menduduki tempat kedua terakhir dalam negara, hanya mengatasi Perlis.
Sebaliknya kata Wee, KDNK negeri seperti Johor pula RM150.5 bilion dan ini menggambarkan bagaimana tadbir urus konservatif menyekat pertumbuhan ekonomi.
“Dalam persekitaran yang semakin konservatif dan tertutup, pelaburan asing dan kedatangan pelancong pasti akan merosot, seterusnya mengecutkan ekonomi.
"Dalam jangka panjang, isu sara hidup yang tidak dapat diselesaikan akan berterusan.
“Dan golongan muda akan menghadapi kesukaran dalam aspek peluang pekerjaan dan kehidupan," katanya yang juga ahli parlimen Tanjung Piai.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai