Skip to main
Logo Malaysiakini

Pesara rugi RM276,900 diperdaya 'scammer' menyamar polis, SKMM

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pesara kerajaan kerugian RM276,900 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pegawai polis.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Noor Hisam Nordin berkata wanita berusia 64 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai SKMM pada 16 Julai lepas dan mendakwa mangsa terlibat dengan kegiatan penggubahan wang haram.

“Panggilan telefon tersebut telah disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

"Dalam tempoh 16 hingga 29 Julai, mangsa telah diarahkan suspek untuk membuat transaksi melalui mesin ATM ke dalam enam akaun bank berlainan.

“Sumber wang kerugian ini adalah duit simpanan mangsa, suami mangsa (iaitu dari) ASB (Amanah Saham Bumiputera) dan Tabung Haji.

"Selepas menyedari ditipu, mangsa membuat laporan di balai polis daerah Kuantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihat orang ramai supaya tidak mudah panik dan tidak mudah percaya dengan sebarang dakwaan daripada panggilan telefon individu tidak dikenali serta membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

- Bernama