Skip to main
Logo Malaysiakini

Bukan ahli tapi koperasi beri pinjaman - Empat individu buat laporan polis

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Sekurang-kurang empat individu tampil membuat laporan polis terhadap sebuah koperasi yang beribu pejabat di Petaling Jaya. Tiga daripada mereka mendakwa bahawa mereka bukan ahli koperasi tersebut tetapi nama mereka telah disalahgunakan membuat pinjaman palsu.

Sementara, seorang lagi delegasi koperasi itu membuat laporan polis mendakwa koperasi itu menyalahgunakan maklumat peribadi orang awam untuk membuat pinjaman palsu.

Malaysiakini telah melihat emua empat laporan polis yang dibuat ke atas koperasi tersebut. Tiga daripada mereka masing-masing membuat laporan di balai polis Telok Panglima Garang (10 Ogos), balai polis Kuala Langat (13 Ogos) dan balai polis Bangi (7 Ogos) yang mendakwa nama mereka disalahgunakan oleh pihak pengurusan koperasi.

Sementara satu lagi laporan dibuat oleh seorang ahli delegasi di balai polis Sri Muda Shah Alam pada 12 Ogos terhadap pihak pengurusan koperasi tersebut.

Bercakap kepada Malaysiakini, seorang perwakilan, M Karthigesu mengakui bahawa dia yang meminta individu-individu tersebut membuat laporan polis selepas menemui beberapa bukti penyelewengan oleh pengurusan badan koperasi tersebut.

"Saya merupakan ahli delegasi sejak 2022.

“Setelah empat tahun koperasi tidak memberi dividen kepada ahli, saya berasa ada yang tidak kena.

“Maka, saya memeriksa senarai penerima pinjaman-pinjaman yang mencurigakan,” katanya tanpa mahu gambarnya dirakamkan.

Kartigesu berkata, selain empat individu itu dia juga menemui bukti bahawa terdapat lapan lagi yang dijadikan ahli koperasi tanpa pengetahuan mereka.

Ini katanya, menjadikan jumlah pinjaman palsu yang diberikan oleh koperasi berkenaan membabitkan RM355,000.

"Apa yang mengejutkan dalam borang permohonan, hampir semua pemohon memiliki nombor telefon (contact number) yang sama.

“Antaranya, saya dapati nombor tersebut milik seorang warga Malaysia dari Klang yang tidak kena-mengena dengan koperasi ini.

"Sehingga hari ini, semua peminjam tidak membuat sebarang bayaran kerana mereka tidak ada sebarang pengetahuan mengenai pinjaman itu,” katanya.

Kartigesu berkata, dia cuba menghubungi beberapa pemohon dan siasatannya mengesahkan bahawa mereka bukan ahli koperasi itu dan tidak pernah membuat sebarang permohonan untuk pinjaman.

"Maka, saya minta mereka buat laporan polis. Saya juga sedang cuba menghubungi nama yang lain.

"Saya juga tidak pasti wang pinjaman itu diberikan kepada siapa," katanya.

Tambahnya, dia juga telah mengesahkan bahawa ada delegasi yang sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Percubaan Malaysiakini mendapatkan maklum balas daripada koperasi tersebut setakat ini tidak berjaya. Pengerusi koperasi tersebut enggan memberikan sebarang ulasan mengenai dakwaan tersebut.

Koperasi berkenaan ditubuhkan pada 1935 dengan nama lain yang melihat keperluan untuk menubuhkan persatuan kolektif sebagai koperasi dalaman untuk manfaat rakan sekerja dalam industri minyak sawit dan perladangan getah.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu kemudiannya mengambil pendirian untuk menukar nama dan mendaftarkannya pada 14 Disember 2007 bagi membolehkannya membuka keahlian kepada semua rakyat Malaysia.

Koperasi itu kini mempunyai lebih 6,000 ahli di seluruh negara dan memiliki cawangan di Bestari Jaya dan Kapar.