Skip to main
Logo Malaysiakini

ANALISIS | Peluang terbuka di Nenggiri tapi BN ada kelebihan

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

PRK NENGGIRI | Peluang terbuka untuk kedua-dua calon bertanding Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dari BN dan Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN untuk memenangi PRK DUN Nenggiri 17 Ogos nanti.

Siapa yang bakal diangkat sebagai wakil rakyat baru di Nenggiri akan terjawab Sabtu nanti selepas 20,259 pengundi berdaftar akan membuat keputusan di peti undi.

Berbaki tidak sampai 24 jam tempoh kempen, kedua-dua parti dilihat mempunyai kelebihan tersendiri.

Di atas kertas, calon BN dilihat ada kelebihan berbanding calon PN. Dari segi pendidikan dan pengalaman yang dilihat memihak Mohd Azmawi ataupun lebih dikenali sebagai Awie.

Awie memiliki ijazah berbanding Rizwadi hanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Begitu juga Awie yang pernah memegang jawatan ahli lembaga pengarah Lembaga Kelantan Selatan (Kesedar) lebih dikenali dalam kalangan peneroka.

Dari segi komunikasi, calon BN dilihat lebih mudah didekati pemberita berbanding calon PN yang diarahkan kepimpinan parti daripada memberi kenyataan kepada media sesuka hati.

Calon PN itu hanya bercakap dengan media apabila ada kepimpinan parti bersama dan jentera PAS dilihat mengatur gerak kerja Mohd Rizwadi sepanjang kempen.

Ketika tinjauan dilakukan dalam kalangan peneroka Kesedar ataupun mereka yang berada dalam kawasan tanah rancangan, Awie lebih dikenali berbanding 'Ustaz Wadi'.

Kelebihan juga kepada Awie kerana sebelum diangkat sebagai calon, dia merupakan pegawai khas kepada bekas Adun Nenggiri sebelum ini, Ab Aziz Yusoff yang membolehkannya kerap bertemu masyarakat Nenggiri.

Menarik juga pertembungan Awie dan Ustaz Wadi dalam pilihan raya ini, kedua-dua mereka berasal dari kampung yang sama di Bertam Lama, Gua Musang.

Keluasan kawasan DUN Nenggiri dua kali ganda berbanding negeri Perlis, dengan perkampungan yang berselerak menyukarkan penilaian dibuat terhadap sokongan pengundi kepada parti bertanding.

Ada beberapa kawasan yang menjadi kubu kuat kepada BN seperti Kampung Sungai Asap, Sungai Was, Pasir Tumboh, Renok dan Bertam Lama.

PN pula menguasai kawasan kampung seperti Ladang SEDC, Jeram Tekoh, Limau Kasturi, Perasu dan Ladang Sungai Terah.

Terdapat 20 pusat daerah mengundi (PDM) dalam kawasan DUN Nenggiri.

PN meneruskan kempennya secara tradisi di Nenggiri dengan mengadakan siri ceramah mega, sebaliknya BN mengambil pendekatan berbeza dengan mengadakan ceramah kelompok bagi bertemu pengundinya.

BN dilihat lebih memberi fokus kepada pengundi terasnya ataupun pengundi putih untuk merampas kembali kerusi tradisi mereka ini.

Pertemuan kelompok tanpa ceramah besar dibuat bagi membolehkan mereka memberi penjelasan secara terus terhadap isu yang membelenggu parti itu.

PN pula menggunakan pentas ceramah untuk menyerang kepimpinan Umno, khususnya kerjasama parti itu dengan PH yang turut disertai DAP.

Slogan "Umdap" terus dijaja PN bagi menarik sokongan pengundi Melayu di Nenggiri yang majoritinya ahli Umno.

Memecah sokongan pengundi Melayu menjadi senjata kepada PN untuk menamatkan dominasi pengundi tradisi Umno di Neggiri.

Isu tanah peneroka Kesedar menjadi senjata ampuh kepada PN untuk menyerang BN.

PN menjadikan kelebihan parti gabungannya PAS sebagai kerajaan negeri untuk menawarkan penyelesaian kepada soal pemilikan tanah peneroka.

Dominasi isu tempatan

Sementara itu BN pula mempertahankan tanah Kesedar sebagai milik agensi itu dan agihan kepada peneroka hanya boleh dibuat Kesedar.

Kesedar menjadi sasaran utama PN ketika berkempen.

Isu tempatan lebih mendominasi kempen PRK DUN Nenggiri berbanding isu nasional.

Penarikan subsidi diesel misalnya turut dibangkitkan PAS dan PN ketika berkempen namun pengundi dilihat tidak begitu tertarik.

Memandangkan majoriti Nenggiri merupakan kawasan tanah rancangan, pengundi ataupun peneroka lebih tertumpu kepada isu tempatan seperti isu geran tanah, kemudahan asas dan masalah bekalan air yang masih berlanjutan.

Kehadiran Pengarah Operasi Pilihan Raya PN bagi PRK DUN Nenggiri, Annuar Musa juga mencuri perhatian apabila dia "ditroll" oleh netizen kerana mengenakan pakaian mewah mencecah puluhan ribu ringgit.

Isu yang dianggap sesetengah pihak sebagai ‘picisan’ itu dilihat mewarnai kempen PRK DUN Nenggiri untuk beberapa hari.

Secara keseluruhannya, kempen PRK DUN Nenggiri dalam suasana tenang tanpa sebarang insiden tidak diingini, apatah lagi BN yang mengambil pendekatan untuk bergerak secara senyap bertemu pengundi.

Dalam tempoh kritikal kempen, calon BN dilihat mempunyai sedikit kelebihan dan boleh dikatakan sedikit mendahului calon PAS.

Kehadiran mantan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberi kelebihan kepada Awie untuk menarik sokongan pengundi.

Ketokohan Tengku Razaleigh sememangnya tidak boleh disangkal, kumpulan awal peneroka ataupun tanah rancangan cukup hormat dan terhutang budi kepada ketua bahagian Umno Gua Musang itu, yang memberi kelegaan buat Awie.

Aura ataupun pengaruh Tengku Razaleigh cukup kuat di Gua Musang sehinggakan pihak lawan tidak menyerang bekas ahli parlimen selama 12 penggal itu dalam siri kempen PN.

Selain pengaruh Tengku Razaleigh atau Ku Li, sokongan pengundi Orang Asli juga masih menjadi "simpanan tetap" buat BN.

Meskipun PN dapat masuk ke kawasan Orang Asli namun sokongan masih lagi memihak BN, dengan kemungkinan sedikit perubahan.

Atas sebab itu, PN khususnya Annuar, begitu rancak "menyerang" kubu kuat BN itu. Ada juga kedengaran khabar angin terdapat cubaan untuk menghalang Orang Asli daripada keluar mengundi kerana ia menguntungkan BN.

Kekalahan BN pada PRN Ogos tahun lalu di Nenggiri tidak boleh dijadikan asas kepada kekuatan PN.

Pengundi merajuk

BN tewas sebelum ini kerana ada beberapa sebab antaranya pengundi teras yang merajuk selain peratusan keluar pengundi Orang Asli agak rendah.

Bagaimanapun, isu yang menyebabkan kekalahan BN dalam PRN lalu telah diselesaikan selepas beberapa kali Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi turun berkempen.

Pun begitu, pengundi muda ataupun pengundi luar mungkin boleh "menganggu" kelebihan calon BN di Nenggiri.

PAS bergantung harap sepenuhnya kepada sokongan pengundi luar dan anak muda untuk memenangi PRK DUN Nenggiri kali ini.

Secara kesimpulannya, boleh dikatakan peluang BN menang dalam PRK DUN Nenggiri tampak cerah namun bukan dengan majoriti yang besar.

Begitu juga PN berpeluang untuk mempertahankan Nenggiri namun sasaran menang dengan majoriti 2,000 undi mustahil untuk direalisasikan.

"Senjata" saat akhir parti bertanding akan menentukan hala tuju sokongan pengundi di Nenggiri.

Pengumuman khas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim Jumaat ini mungkin boleh menjadi nilai tambah sokongan pengundi terhadap BN.

Anwar dijangka membuat pengumuman penting mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkaitan kenaikan gaji dan struktur pemberian elaun kepada kakitangan kerajaan.