Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan peralat Orang Asli, kata pemimpin JKOAK di pentas PAS

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Jangan jadikan masyarakat Orang Asli sebagai alat untuk meraih sokongan semata-mata, kata Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Nasir Dollah ketika tampil di pentas ceramah PAS malam tadi.

Nasir mengingatkan parti bertanding supaya tidak mengugut kumpulan minoriti itu.

Sebaliknya kata Nasir, Orang Asli memerlukan pembelaan sewajarnya daripada wakil rakyat.

“Tolong jangan perguna Orang Asli untuk politikkan kami semua, terutamanya orang Umno, berkempenlah secara demokrasi dan jangan ingat Orang Asli itu tidak cerdik.

"Kita juga boleh membaca dan menulis, kita juga ada TikTok, ada Facebook, kita sudah pandai, jadi berkempen secara demokrasi dan menghayati konsep demokrasi sebaik mungkin," katanya ketika kali pertama berceramah di pentas kempen Perikatan Nasional di Kampung Jerek, Gua Musang.

Nasir turut menolak tanggapan berkongsi pentas bersama pemimpian PN kerana dia telah dibeli oleh pembangkang.

"Tolong jangan ugut, saya nak beri tahu apa naratif Umno sebelum ini pada Orang Asli. Dia kata kalau kamu tak undi Umno, peruntukan daripada kerajaan pusat tak dapat. Ini adalah satu naratif bagi saya sangat jahat," dakwanya.

Nasir berkata Orang Asli perlu sehaluan dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu tanah adat mereka.

Nasir merupakan calon Orang Asli pertama yang bertanding dalam pilihan raya apabila membuat penampilan sulung bersama DAP untuk bertanding di kerusi DUN Galas pada PRU ke-14 lalu.

Ketika ditemu bual pada 10 Ogos lalu, Nasir mendakwa masyarakat Orang Asli terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat.

Malah dia juga turut mendakwa aktiviti pembalakan menyebabkan masyarakat Orang Asli berdepan ancaman haiwan liar seperti gajah.