Skip to main
Logo Malaysiakini

Prestasi ringgit di landasan tepat, cerminan asas ekonomi kukuh - Gabenor BNM

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Pergerakan ringgit kini dalam hala tuju yang tepat, mencerminkan asas ekonomi dan prospek kukuh negara, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour (gambar bawah) berkata spread dalam prestasi ringgit baru-baru ini menunjukkan kenaikan semula daripada paras-paras sebelumnya.

“Dari segi sama ada kita mempunyai paras yang selesa bagi ringgit, kita tidak menyasarkan paras khusus yang tertentu untuk ringgit memandangkan ia dipacu pasaran,” katanya pada sidang media mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Beliau berkata sokongan terhadap ringgit pada masa depan adalah positif.

Ringgit disokong oleh beberapa faktor iaitu dasar monetari Amerika Syarikat (AS), langkah terselaras antara kerajaan dan BNM serta prospek Malaysia yang teguh, katanya.

Mengenai prestasi ringgit, beliau berkata mata wang tempatan semakin meningkat sejak akhir-akhir ini, dengan peserta pasaran kewangan menjangkakan pengurangan kadar dasar dilakukan oleh Rizab Persekutuan AS, yang telah melemahkan dolar dan mengurangkan tekanan ke atas mata wang serantau termasuk ringgit.

Bagi tahun ini hingga 13 Ogos, 2024, ringgit menambah nilai sebanyak 3.1 peratus berbanding dolar AS, susulan perkembangan terkini itu, katanya.

Pada asas kadar pertukaran efektif nominal (NEER), ringgit turut menambah nilai sebanyak 5.3 peratus.

Abdul Rasheed berkata inisiatif terselaras oleh kerajaan dan BNM dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) beserta libat urus dengan syarikat korporat, pengeksport dan pelabur terus menyokong ringgit.

“Semua usaha ini telah menyebabkan aliran yang lebih besar dan konsisten ke dalam pasaran pasaran pertukaran asing. Purata harian bagi jumlah urus niaga pertukaran asing (FX) telah meningkat kepada AS$18.0 bilion untuk tempoh 26 Feb hingga 13 Ogos, 2024 ((2 Jan - 23 Feb, 2024: AS$15 bilion).

“Spread bida-tawar juga lebih kecil, menunjukkan kecairan dalam pasaran domestik FX yang bertambah baik,” katanya.

Pada April 2024, BNM melancarkan kerangka prakelulusan pantas rintis yang dikenali sebagai program Pelabur Pemastautin Berkelayakan (QRI), untuk mengurangkan isu bagi syarikat untuk menghantar pulang dan menukar dana mata wang asing mereka daripada pelaburan luar negara dan ingin melabur semula di luar negara apabila tiba masanya.

“Ini bertujuan memastikan aliran dua hala dalam pasaran pertukaran asing,” katanya.

Beliau berkata program rintis membawa hasil yang memberangsangkan apabila aliran masuk tambahan bernilai lebih AS$1 bilion didapati memasuki pasaran FX domestik.

Aliran tambahan itu telah menyokong prestasi ringgit dengan menyumbang kepada pemulihan unit domestik seperti yang dialami beberapa bulan kebelakangan ini, katanya.

Justeru, BNM mengumumkan program rintis QRI kini dilanjutkan mulai hari ini hingga 31 Dis, 2024, untuk korporat pemastautin berkelayakan yang mempunyai pelaburan langsung yang besar di luar negara dengan aset bernilai RM1 bilion dan ke atas.

Mengenai prestasi luaran Malaysia, eksport diunjurkan terus berkembang tahun ini, didorong oleh permintaan luar yang bertambah baik, kitaran meningkat teknologi global dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.

Beliau berkata terimaan pelancongan terus meningkat kepada RM22.4 bilion pada suku kedua tahun ini atau pertumbuhan tahunan sebanyak 37 peratus.

“Secara khususnya, ketibaan pelancong dari China dan India telah disokong oleh langkah pengecualian visa yang diperkenalkan sebelum ini.

“Pada suku kedua, pelancong dari China meningkat kepada lebih 690,000 ketibaan daripada angka pada 2019, manakala ketibaan dari India hampir 325,000 atau kira-kira 165 peratus daripada ketibaan pada 2019,” katanya.

Melangkah ke hadapan, terimaan pelancongan dijangka terus meningkat didorong oleh ketibaan pelancong dan perbelanjaan per kapita yang lebih tinggi disebabkan oleh pengecualian visa untuk China dan India dan juga pengembangan dalam rangkaian dan kapasiti penerbangan.

Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), beliau berkata Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM yakin sistem itu kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“MPC akan terus menilai keadaan dan implikasi inflasi dan trajektori pertumbuhan domestik yang berubah, menjelang 2025. MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif,” katanya.

Abdul Rasheed berkata di peringkat global, laluan dasar monetari sedang beralih ke arah pelonggaran oleh bank-bank pusat.

Namun, pasaran kewangan kekal terdedah kepada perkembangan ekonomi, termasuk prospek pertumbuhan dan sebarang perbezaan antara jangkaan oleh peserta pasaran dengan tindakan bank pusat, katanya.

“Punca turun naik ketara yang lain juga kekal, termasuk ketegangan geopolitik, yang terus menjejaskan sentimen pelabur.

“Bagaimanapun, landskap domestik kekal positif, walaupun tinjauan luaran yang berubah ini. Pengecilan perbezaan kadar faedah dengan di AS akan kondusif bagi aliran masuk terutama memandangkan prospek ekonomi Malaysia yang positif,” katanya.

- Bernama