Skip to main
Logo Malaysiakini

Persatuan sukan luar kawalan Hannah, ada isu besar lain — Zaid

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Persatuan sukan berada di luar kawalan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

Masalahnya lebih besar daripada yang disangkakan oleh bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin, kata Zaid dalam satu hantaran di X.

"Seperti segala-galanya di negara ini, ahli politik dan golongan yang berpengaruh serta kaya perlu menjadikan kehidupan mereka bermakna, jadi mereka mula menguruskan persatuan sukan.

"Sukan memberi mereka publisiti. Mereka boleh melancong dengan enak dan semua perbelanjaan mereka untuk ke Olimpik dan Piala Dunia ditanggung.

"Mereka menjadi penaung dan presiden, walaupun mereka tidak mempunyai sebarang kemahiran.

“Mereka mempengaruhi proses membuat keputusan dalam latihan, pemilihan dan apa saja yang mereka rasa nak buat.

"Bolehkah seorang menteri mengatasi mereka? Tentu tidak,” kata Zaid.

Terdahulu hari ini, Yeoh memuat naik hantaran di Instagram yang ditujukan kepada Gintell Malaysia, membidas syarikat itu kerana menaja podcast Keluar Sekejap (KS) yang dihoskan Khairy dan bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.

Ini berikutan komen yang dibuat oleh kedua-dua hos KS mengenai Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Sebelum ini, Yeoh telah memperincikan pelantikan dalam landskap organisasi sukan negara sambil menjelaskan dia tiada kuasa memecat mereka yang tidak dilantiknya.

Merujuk kembali kepada kenyataan ini hari ini, Yeoh memetik Piagam Olimpik dan perlembagaan MOM, menjelaskan tindakannya berlandaskan prinsip pemisahan kuasa dan menghormati sempadan institusi.

Ini berikutan kontroversi yang melibatkan Presiden MOM, Norza Zakaria selepas keluarganya dilihat menonton Olimpik Paris dengan gambar kad akreditasi mereka tersebar di media sosial kemudian.

Dalam pada itu, Zaid berkata analisis yang teliti diperlukan untuk memperbaiki keadaan sedemikian.

Masalah yang melanda persatuan untuk setiap sukan juga berbeza, tambahnya.

"Mereka berbeza dan memerlukan pendekatan yang berbeza,” jelasnya.

Namun, kata Zaid lagi tidak mungkin pemimpin persatuan sukan akan mengambil tanggungjawab atau melepaskan jawatan kerana kegagalan mereka.

"Memang cara (pemimpin persatuan sukan) Malaysia untuk berpaut pada jawatan selama mungkin,” katanya.