Skip to main
Logo Malaysiakini

Rusuhan di UK: Lebih 1,000 ditahan, hampir 600 didakwa

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Lebih 1,000 individu telah ditahan dan hampir 600 didakwa berhubung rusuhan sayap kanan yang berlaku di seluruh United Kingdom (UK) selepas insiden serangan pisau di Southport pada 29 Julai lepas, lapor Agensi Anadolu.

UK menyaksikan peningkatan individu didakwa di mahkamah apabila pihak berkuasa bertindak balas terhadap rusuhan ganas yang dicetuskan oleh maklumat palsu dalam talian mendakwa pembunuhan tiga kanak-kanak dalam satu insiden tikaman di Southport didalangi seorang pencari suaka Muslim.

Penyerang yang dikenali sebagai Axel Rudakubana, seorang remaja berusia 17 tahun dari Cardiff dengan ibu bapanya berasal dari Rwanda, tidak berbuat banyak untuk menghalang perusuh sayap kanan.

Perdana Menteri Keir Starmer berjanji akan menegakkan keadilan dengan segera, dan Majlis Ketua Polis Negara menjangkakan lebih banyak tangkapan dan pendakwaan akan dilakukan seiring dengan kemajuan siasatan.

Pada 7 Ogos, tiga lelaki menjadi individu pertama yang dijatuhkan hukuman penjara kerana terlibat dalam rusuhan di Southport dan Liverpool. Pendakwa raya memberi amaran tindakan tegas terhadap perusuh akan diteruskan.

Julie Sweeney, 53, dijatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan pada 16 Ogos kerana memuat naik mesej berbaur hasutan di Facebook.

Hakim Steven Everett mengkritik tingkah laku dalam talian Sweeney dengan menyatakan bahawa "pahlawan papan kekunci" perlu bertanggungjawab terhadap bahasa yang mereka gunakan, terutamanya ketika kekacauan yang berterusan di seluruh negara.

Sweeney mengikuti Jordan Parlour yang dijatuhkan hukuman penjara selama 20 bulan minggu lepas kerana menggesa serangan terhadap sebuah hotel yang menempatkan pencari suaka.

Parlour bersama Tyler Kay yang turut dipenjarakan kerana hantaran serupa, adalah antara individu pertama dihukum penjara kerana aktiviti media sosial berkaitan dengan rusuhan sayap kanan.

Reece Greenwood, 31, yang menyiarkan secara langsung kata-kata perkauman semasa rusuhan di Sunderland, dijatuhkan hukuman penjara 2.5 tahun kerana kekacauan ganas.

Setiausaha Dalam Negeri Yvette Cooper memberi amaran bahawa "pahlawan papan kekunci" tidak akan terlepas daripada pendakwaan dan akan berdepan "hukuman berat." Starmer menekankan perkara itu dengan mengingatkan pengguna media sosial bahawa platform dalam talian bukanlah "zon bebas undang-undang."

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menjadi individu termuda yang didakwa berkaitan dengan rusuhan berkenaan. Dia hadir di sebuah mahkamah di Liverpool pada Isnin dan mengaku bersalah melakukan kekacauan ganas di Merseyside. Selain itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun juga berdepan pendakwaan berkaitan dengan rusuhan di Whitehall bulan lepas.

Mengikut garis panduan hukuman, kekacauan ganas memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun manakala tempoh maksimum bagi rusuhan adalah 10 tahun.

Pada 4 Ogos, Perdana Menteri Starmer mengutuk rusuhan itu sebagai "keganasan berhaluan kanan" dan memberi amaran bahawa mereka yang terlibat dalam keganasan itu akan "menyesali" tindakan mereka.

- Bernama