Skip to main
Logo Malaysiakini

'Menteri' ajaran sesat Millah Abraham kena cekup - Exco

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Individu disyaki pengikut kepada ajaran sesat Millah Abraham yang berstatus ‘menteri’ dalam ajaran tersebut ditahan di kediamannya di daerah Batu Pahat pada 7.15 malam, Rabu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata penahanan tersebut dilakukan pihaknya melalui satu operasi khas Op Millah Ibrahim/Abraham (Op Milab).

Beliau berkata selain Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor, operasi khas yang bertujuan membenteras penyebaran ajaran dan fahaman itu, turut disertai Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Sebutan kes ke atas individu tersebut telah dijalankan semalam (15 Ogos) di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 24 Sept ini.

“Kerajaan Johor kekal berusaha membenteras semua jenis ajaran sesat daripada berleluasa di negeri ini dengan menggunakan segala kekuatan enakmen dan perundangan yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Fared berkata orang ramai turut digesa untuk terus melaporkan segala bentuk ajaran agama yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Pada 6 Ogos lepas, 14 individu yang juga disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat atas pertuduhan mengingkari pihak berkuasa agama dan memiliki bahan penerbitan agama bertentangan hukum syarak.

- Bernama