Skip to main
Logo Malaysiakini

LANGSUNG | Rasmi: BN menang di Nenggiri

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

PRK NENGGIRI | Dengan kemenangan besar BN, pasukan Malaysiakini menutup tirai liputan pilihan raya kecil kerusi DUN di Kelantan ini.

Terima kasih buat pembaca Malaysiakini yang mengikuti laporan langsung ini.

Jika anda sukakan berita kami, sokonglah media bebas dengan melanggan Malaysiakini. Klik di sini untuk maklumat lanjut.


Awie ikrar berkhidmat tanpa pilih warna politik

10.44 malam - Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang dipilih sebagai wakil rakyat baru DUN Nenggiri berjanji akan berkhidmat kepada kesemua masyarakat tanpa mengira kecenderungan politik.

Adun BN itu berkata dia akan menggalas tugas barunya dengan penuh tanggungjawab.

"Bermula saat ini saya akan mewakili seluruh rakyat Nenggiri dan berikrar akan berkhidmat kepada mereka semua tanpa mengira warna politik.

“Tanggungjawab ini akan saya galas sebaik mungkin dan kemenangan besar malam ini juga tanpa saya duga,” katanya pada sidang media di Gua Musang, malam ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub.


MB: K’jaan negeri terus berkhidmat untuk penduduk Nenggiri

10.40 malam - Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, berkata pentadbiran negeri akan terus menjaga kebajikan penduduk Nenggiri walaupun kalah pada pilihan raya kecil DUN itu hari ini.

"Kerajaan Negeri Kelantan menerima keputusan pilihan raya ini dengan lapang dada dan kami menghormati pilihan yang telah dibuat oleh pengundi.

"Walaupun Perikatan Nasional tidak berjaya dalam pilihan raya kecil ini, kerajaan negeri komited dengan agenda berkebajikan dengan tetap akan menyantuni dan menjaga kebajikan warga Nenggiri melalui program dan skim yang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri.

"Keprihatinan terhadap keperluan rakyat akan kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan dan dasar yang diambil," katanya.


Kemenangan BN tanggungjawab besar - Zahid

10.25 malam - Kejayaan BN menawan semula kerusi DUN Nenggiri bukan sahaja satu amanah tetapi juga tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin, kata Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

“Dengan mandat ini, kita raikan dengan penuh tawaduk dan keinsafan bahawa jalan perjuangan masih panjang serta usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno dan BN akan tetap diteruskan.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada ikhtiar melakar kejayaan yang lebih bermakna di masa hadapan. Terima kasih Nenggiri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam ini.


Rasmi: BN rampas kembali Nenggiri

9.30 malam - BN menang pilihan raya kecil Nenggiri dengan meraih 9,091 undi.

Sementara itu, PN pula memperoleh 5,739 undi.

BN meraih 61.3 peratus bahagian undi pada pilihan raya kecil ini, meningkat daripada 46.7 peratus tahun lalu.

Jumlah peratusan keluar mengundi tinggi sebanyak 73.9 peratus.


PAS ucap tahniah, harap kerajaan kosongkan enam kerusi parlimen

8.30 malam - Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan mereka dalam pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri.

Menerusi Facebook, Ahmad Fadhli turut mengucapkan terima kasih kepada jentera PN atas kerja keras mereka dan meminta mereka menjadikan PRK itu sebagai “latihan” untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Dengan kemenangan itu, katanya, tentu kerajaan tidak ragu-ragu untuk mengisytiharkan kekosongan enam kerusi parlimen yang menyaksikan ahli parlimen Bersatu beralih sokongan kepada kerajaan sebelum ini.

"BN sudah kembali kuat. Sokongan rakyat di Nenggiri kembali kepada BN. Sudah tentu kerajaan tidak ragu-ragu lagi untuk mengisytiharkan kekosongan 6 kerusi lompat di mana BN yang akan bertanding.

"Itupun jika mereka yakin bahawa mereka sudah kembali kuat," katanya.


Tak rasmi: BN menang 17 dari 20 daerah mengundi

8.20 malam - Keputusan tidak rasmi menunjukkan BN menang 17 dari 20 pusat daerah mengundi (PDM).

Dari kesemua PDM yang dimenangi BN, lima menyaksikan pertarungan sengit iaitu di Kuala Sungai, Bertam Lama, Jerek, Renok dan Limau Kasturi dengan gabungan itu mengetepikan PN dengan kira-kira 50 undi atau kurang.

PN pula menang di Ladang SEDC, Kesedar Limau Kasturi dan Pasir Tumboh.

Di Ladang SEDC, PN memperoleh majoriti 84 undi, 51 undi di Pasir Tumboh, dan 25 undi di Kesedar Limau Kasturi.


Annuar ucap tahniah pada BN

8.10 malam - Pengarah Operasi pilihan raya PN bagi PRK Nenggiri, Annuar Musa mengucapkan tahniah kepada BN kerana memenangi PRK berkenaan.

"Keputusan tidak rasmi sudah diperolehi. BN memenangi PRK ini dengan majoriti yang selesa.

"Kita ucapkan tahniah kepada yang menang. Selamat menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan,” katanya pada hantaran di media sosial.

Tambah Annuar, rakyat Nenggiri sudah membuat pilihan dan PN perlu menghormati keputusan tersebut.

"Semoga rakyat Nenggiri mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.


Tak rasmi: Nenggiri kembali milik BN

7.35 malam - BN merampas kerusi Nenggiri daripada PN, menurut keputusan tidak rasmi.

Ini pilihan raya kecil pertama sejak pilihan raya umum 2022 dan pilihan raya negeri 2023 yang menyaksikan kerusi bertukar tangan.

Malaysiakini menganggarkan BN telah melepasi ambang 50 peratus undi dengan 39 dari 47 daerah mengundi telah dikira.

BN masih mendahului dengan lebih 2,800 undi setakat ini dan PN dijangka tidak akan mampu mengejar lagi.

Di bilik gerakan BN, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan terima kasih kepada pengundi Nenggiri kerana mengembalikan kerusi tersebut kepada gabungan itu.

Dia juga berterima kasih kepada bekas ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub.


Tak rasmi: BN di ambang kemenangan

7.25 malam - BN dijangka akan memenangi kerusi DUN Nenggiri menurut keputusan tidak rasmi.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan keyakinannya BN akan menang, "Insya-Allah".

Setakat ini, BN mendahului dengan lebih 2,800 undi setelah 36 dari 47 saluran mengundi dikira.

Menurut keputusan tidak rasmi BN, gabungan itu telah berjaya merampas kembali daerah mengundi Perasu dan Limau Kasturi yang mana BN kalah pada pilihan raya negeri tahun lalu


BN mendahului PN

7 malam - Keputusan tidak rasmi kem BN menunjukkan gabungan tersebut kekal mendahului dengan 20 dari 47 saluran mengundi telah dikira.

Setakat ini, BN mendahului PN dengan hampir 2,000 undi.


2,000 penyokong PN tak keluar undi - Annuar

6.15 petang - Pemimpin PN Annuar Musa membayangkan persaingan sengit dengan kemungkinan undi untuk gabungan itu merosot.

Dalam satu hantaran di Facebook, Annuar mendakwa lebih 2,000 penyokong PN tidak keluar mengundi “gara-gara tempias berita pihak lain mendapat duit.”

Pun begitu Annuar tidak menjelaskan kaitan antara perkara ini.

Pemimpin PAS itu juga mendakwa peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi pada hari ini mungkin memberi kelebihan kepada BN.

Jika dakwaan Annuar benar, PN mungkin akan kehilangan kerusi tersebut.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, PN menang DUN Nenggiri hanya dengan majoriti 810 undi daripada BN.


Tak rasmi: BN menang semua daerah mengundi Orang Asli

6 petang - BN telah memenangi kesemua enam daerah mengundi Orang Asli menurut keputusan tidak rasmi.

Jumlah undi tidak rasmi menunjukkan BN meraih 1,852 undi di enam daerah mengundi tersebut - Kuala Sungai, Tohoi, Sungai Puian, Sungai Jenera, Simpor dan Sungai Wias.

Sementara itu, PN hanya mendapat 282 undi di kawasan-kawasan ini.


Pusat pengundian ditutup

6 petang - Peratusan keluar mengundi merekodkan 71.87 peratus setakat 4 petang, maklum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melebihi sasaran hanya lebih 60 peratus.

14 pusat pengundian dibuka sehingga 6 petang manakala enam pusat pengundian ditutup lebih awal.

Empat pusat mengundi yang ditutup pada 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, manakala dua lagi ditutup 3 petang iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat.