Skip to main
Logo Malaysiakini

Syerleena lapor polis, difitnah bapanya Rashid Maidin

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, hari ini membuat laporan polis terhadap pihak yang mendakwa dia berusaha untuk mengubah agama rasmi negara.

Pengguna media sosial tersebut juga menuduh dia menyerang institusi Islam, terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), katanya pada satu kenyataan.

"Secara jelas, dakwaan-dakwaan ini adalah fitnah melampau yang ditaburkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat untuk mewujudkan persepsi negatif orang ramai khususnya dalam kalangan orang Melayu terhadap saya, parti saya serta Kerajaan Madani secara umumnya.

"Pada hantaran sama, terhadap juga individu yang mendakwa pemimpin Parti Komunis Malaya, Rashid Maidin sebagai bapa saya.

"Walhal arwah bapa saya, Abdul Rashid Hanafi merupakan seorang guru sekolah yang baru sahaja meninggal dunia pada awal Jun lalu," kata Syerleena.

Seorang pengguna TikTok telah memuat naik video dengan imej yang menunjukkan Syerleena bersama teks yang seolah-olah mengaitkan petikan itu kepadanya mengenai perubahan agama rasmi negara kepada Kristian dan ikrar ahli parlimen DAP ity untuk menyerang institusi Islam, khususnya Jakim.

Dalam video yang dimuat naik Syerleena ke halaman Facebooknya, dia berkata poster pada latar belakang TikTok tersebut pertama kali muncul pada tahun 2017.

Seorang pengguna lain yang mengulas pada video tersebut, menuduh bapa Syerleena seorang pemimpin Parti Komunis.

Jangan takut momokan DAP

Setakat jam 9 malam, video TikTok tersebut telah ditonton sebanyak 714,600 kali, dengan 718 tanda suka.

Audio video tersebut menggunakan suara latar yang dihasilkan oleh AI yang mendakwa Syerleena berhasrat untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan rakyat bagi meraih keuntungan peribadi.

Sementara itu, Syerleena menggesa umat Islam supaya tidak lagi takut terhadap momokan DAP.

"Sebagai ahli parlimen beragama Islam, saya sentiasa komited dalam mempelihara kesucian agama Islam dan akan mempertahankan institusi-institusinya di negara ini sekiranya diganggu-gugat.

"Malah, kepimpinan DAP juga telah menegaskan bahawa parti ini akan terus menghormati dan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan berkenaan kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syerleena juga membuat laporan polis mengenai tindakan vandalisme terhadap pusat khidmat ahli parlimen Bukit Bendera.