Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tahan bapa tiri, ibu kandung disyaki dera anak sampai mati

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Polis menahan sepasang suami isteri disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun sehingga meninggal dunia di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata dua individu terbabit merupakan ibu kandung dan bapa tiri kepada kanak-kanak itu ditahan pada sembilan malam selepas pihaknya menerima makluman berhubung kematian mangsa di sebuah rumah di Bandar Tasik Puteri pada 3.27 petang hari sama.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di bahagian muka, tangan, kaki dan badan mangsa dipercayai dicederakan dengan tangan atau kaki, tali pinggang, penyangkut baju serta senjata tumpul.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat. Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata kedua-dua suspek, masing-masing berumur 29 dan 28 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pembuat aiskrim, kini direman tujuh hari hingga 24 Ogos untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang juga murid tahun dua itu tidak hadir ke sekolah sejak Jun lepas.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes ASP Mohd Hamizan Mohamad Yunus melalui talian 013-8348384 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03-61262222,” katanya. 

-Bernama