Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Najib tak pernah pergi AmBank, macam mana tuduh dia minta suapan di AmBank’

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

KES 1MDB | Najib Razak tidak pernah berada di sebuah bank yang disebut pendakwaan maka dua tuduhan salah guna kuasa terhadap bekas perdana menteri itu cacat, kata peguamnya.

Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah jenayah hari ini pertuduhan terhadap Najib telah disusun dengan teruk kerana ia memberi gambaran seolah-olah bekas perdana menteri itu melakukan salah guna kuasa berkenaan di AmBank.

“Kita tahu daripada keterangan saksi-saksi pendakwaan bahawa kes mereka berkenaan apa yang berlaku di AmIslamic Bank (membabitkan) wang yang diterima dalam akaun anak guam saya.

"Apa yang mereka katakan menerima sogokan satu kesalahan. Anak guam saya boleh mengatakan dia tidak pernah berada di bank tersebut.

"Bagaimana mereka boleh sebut anak guam saya berada di AmIslamic Bank menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan,” kata Shafee kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Dia (Najib) tidak pernah melihat bangunan AmBank. Dia tidak pernah pergi ke bank itu. Bagaimana dia boleh dituduh menyalahgunakan kuasa di AmBank?

"Ia benar-benar mengelirukan kami dalam pembelaan," kata Shafee, sambil menambah prasangka terhadap anak guamnya begitu besar sehingga perbicaraan berlangsung selama enam tahun.

Katanya lagi pertuduhan jenayah tersebut adalah “tercela secara asas.”

Secara keseluruhan, empat tuduhan salah guna kuasa berkaitan 1MDB mendakwa bahawa bekas menteri kewangan Najib melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Membaca daripada hujah bertulisnya yang melebihi 2,500 muka surat, Shafee berhujah dua daripada tuduhan salah guna kuasa tersebut mengandungi kejadian berasingan yang memerlukan mereka dipisahkan sebagai pertuduhan yang tersendiri.

Hujahan lisan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah diteruskan hari ini.

Najib berdepan bukan sahaja empat pertuduhan salah guna kuasa tetapi juga 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan RM2.27 bilion dari 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Mengenai 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Kementerian Kewangan Diperbadankan memiliki 1MDB sepenuhnya dengan Najib adalah pengerusi lembaga penasihat.

Tertuduh pertama kali didakwa pada 20 Sept 2018, dan perbicaraan jenayahnya bermula pada 28 Ogos 2019.

Seramai lima puluh saksi memberi keterangan untuk pihak pendakwaan, termasuk bekas peguam 1MDB Jasmine Loo.

Loo didakwa menjadi sebahagian daripada kelompok dalaman ahli perniagaan dalam buruan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho (Jho Low).

Pendakwa raya menuduh Najib menerima RM2.27 bilion yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan negara yang bermasalah itu antara 2011 dan 2014.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan Najib berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengetahui sebarang salah laku di 1MDB dan sebarang salah laku yang mungkin berlaku adalah semata-mata didalangi oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan ahli pengurusan 1MDB.

Najib yang juga bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB juga sebelum ini berhujah bahawa Raja Abdullah dari Arab Saudi menjanjikan sumbangan kewangan kepada tertuduh untuk tujuan politik.

[Baca berita asal]