Lelaki cederakan isteri diarah jalani pemeriksaan mental
Mahkamah Sesyen Kemaman di Chukai hari ini mengarahkan seorang lelaki yang didakwa mencederakan isterinya pada Jumaat lepas untuk menjalani pemeriksaan mental.
Hakim Wan Suhaila Mohd mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syafiqah Noorinda supaya Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 46, mendapatkan pemeriksaan mental, setelah lelaki itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Nur Syafiqah berkata ia bagi memastikan keadaan lelaki itu ketika dia melakukan kesalahan tersebut, kerana menurut rekod kesihatan Ahmad Nor sebelum ini pernah mendapatkan rawatan psikiatri, namun berhenti menerimanya pada Mei tahun lepas.
Ahmad Nor didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 43 tahun di bahagian kepala, pipi, tangan dan belakang badan dengan menggunakan tangan dan kaki.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Bukit Mentok, di Chukai pada pukul 5.52 petang, 16 Ogos lepas, dan dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Selain memohon tertuduh menjalani pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, Nur Syafiqah juga tidak menawarkan jaminan terhadap lelaki itu, yang tidak diwakili peguam.
Wan Suhaila kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 23 Sept ini.
Sementara itu dalam kes berasingan Wan Suhaila menetapkan 12 Sept ini untuk sebutan semula kes Norulhuda Sofia Muda, 26, yang sebelum ini didakwa melakukan penganiayaan dengan menyebabkan anak perempuannya yang berusia enam tahun cedera fizikal.
Dia didakwa menarik rambut dan kepala serta mengangkat badan anaknya itu lalu menghayun kanak-kanak berkenaan keluar melalui tingkap sehingga terjatuh ke atas tanah di Kampung Air Jabor Kubur, di Chukai, 13 Julai lepas.
Prosiding sebutan semula yang dijadualkan hari ini bagaimanapun terpaksa ditunda kerana laporan pemeriksaan mental wanita itu masih belum diterima.
Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah menolak pengakuan bersalah Norulhuda Sofia kerana keadaan wanita itu yang beremosi, seolah-olah tidak memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Wan Suhaila.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai