Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri mahu universiti M'sia bantu rakyat Palestin

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir berkata institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia perlu melakukan lebih banyak usaha untuk membantu rakyat Palestin.

Ini katanya supaya mereka mempunyai sumber yang diperlukan untuk membina semula Gaza, yang telah musnah akibat pengeboman berterusan oleh Israel selama beberapa bulan.

"Selain membicarakan mengenai (nasib) rakyat Palestin dengan pembunuhan berterusan di sana, perlu digerakkan inisiatif untuk membangunkan semula Gaza, dari aspek pendidikan.

"Ini adalah perkara yang sangat asas dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membuka lebih banyak ruang, bukan hanya untuk (bawa mereka ke Malaysia) bagi mendapatkan khidmat perubatan tetapi memberikan ruang pendidikan.

"Ini komitmen Malaysia dan kita akan teruskan usaha ini," katanya seperti dipetik BH Online ketika berucap pada Perbincangan Meja Bulat bertajuk: "From Destruction to Reconstruction: Empowering Gaza's Education," di Bangunan Azman Hashim, Universiti Malaya (UM), di Kuala Lumpur, hari ini.

Zambry berkata dia telah mengadakan mesyuarat dengan naib canselor universiti mengenai perkara ini, termasuk memperluaskan penggunaan kemudahan perubatan di hospital latihan untuk merawat rakyat Palestin yang cedera.

"Saya beritahu dalam perjumpaan semalam dengan sebilangan Naib Canselor supaya mereka ambil langkah (membantu rakyat Gaza).

“Ada dalam kalangan IPTA (institusi pengajian tinggi awam) yang ada hospital sendiri. Maknanya mereka boleh bantu (misalnya) 127 penduduk Gaza yang sudah dibawa ke sini untuk dirawat.

"Jadi tidaklah mereka ini hanya ditempatkan di hospital awam.

"Jadi saya menggesa universiti yang ada hospital, beri ruang kepada mereka (rakyat Gaza yang memerlukan rawatan)," katanya lagi.

Sementara itu Zambry berkata kerajaan telah memperuntukkan kira-kira AS$3.87 juta (sekitar RM17 juta) untuk membayar yuran pengajian dan bantuan kewangan bulanan kepada pelajar Palestin selama setahun.

Dana tersebut telah disalurkan melalui Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), katanya, sambil menambah bahawa lebih banyak dana boleh dipertimbangkan jika perlu.

"Di samping itu, kerajaan Malaysia akan menyerap yuran lain berkaitan universiti lain, berjumlah AS$1.13 juta.

"Inisiatif ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memastikan pelajar Palestin dapat meneruskan pendidikan mereka tanpa menanggung beban kewangan," katanya.

Minggu lepas, Angkatan Tentera Malaysia telah menerbangkan 127 rakyat Palestin, termasuk 41 individu yang cedera dan pengiring mereka ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan.