Skip to main
Logo Malaysiakini

Puad cabar Muhyiddin dedah siapa MP BN sokongnya jadi PM

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi mencabar Pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk mendedahkan identiti 10 ahli Parlimen BN yang menandatangani akuan berkanun (SD) menyokongnya sebagai perdana menteri pada 2022.

Ia selepas Muhyiddin menyerahkan SD dan dokumen lain kepada polis, bagi membantu siasatan berhubung ucapannya bahawa Yang di-Pertua Agong tidak mengundangnya untuk menubuhkan kerajaan selepas mendapat sokongan 115 ahli Parlimen pada PRU15.

Dalam hantaran di Facebook pagi ini, Puad berkata tidak memadai untuk Muhyiddin hanya menyerahkan SD kepada polis.

Sebaliknya, kata Puad, Muhyiddin perlu mendapatkan pengakuan terbuka daripada ahli Parlimen selain PN yang menyokongnya, bagi membuktikan SD tersebut adalah tulen.

“Justeru, Muhyiddin dicabar panggil ahli Parlimen bukan dari PN untuk mengesahkan SD itu tulen,” katanya.

Tanpa pengesahan itu, katanya lagi, SD tersebut mungkin telah dimanipulasi untuk mengelirukan orang ramai yang tidak tahu cerita sebenar.

“Pihak istana tahu cerita sebenar. Maka Muhyiddin perlu minta maaf kepada Agong terdahulu,” katanya lagi.


Fadillah dedah alasan GPS tukar pendirian isu calon PM


Selain SD daripada 74 ahli Parlimen PN, perakuan Muhyiddin sendiri pada 2022 menyatakan dia juga memiliki SD daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS-22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS-6), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM-1), serta SD daripada 10 ahli Parlimen BN dan dua ahli Parlimen bebas.

Identiti 10 ahli Parlimen BN itu tidak pernah dinyatakan secara terbuka.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon pernah membayangkan dua ahli Parlimen daripada parti itu menandatangani SD selepas diyakinkan oleh seorang pemimpin kanan BN.

GPS dan GRS pada mulanya menyokong Muhyiddin namun menarik balik sokongan itu selepas Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi membawa gabungan itu untuk menyokong Anwar Ibrahim.

GPS dan GRS kemudian menukar sokongan kepada Anwar semasa Agong ketika itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, menasihati para ahli Parlimen untuk menubuhkan sebuah “kerajaan perpaduan”.