Skip to main
Logo Malaysiakini

SD Muhyiddin tak semudah pertandingan sukan - Azalina

Artikel ini sudah 23 hari diterbitkan

PAU 2024 | Isu membabitkan 115 Akuan Bersumpah (SD) yang dibangkitkan pengerusi PN, Muhyiddin Yassin tidak semudah seperti 'pertandingan sukan', kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Ini kerana katanya persetujuan untuk membentuk kerajaan mesti datang daripada parti dan bukan individu selain tertakluk kepada undang-undang antilompat parti.

"Jadi, dalam perkara ini, kalau daripada mula, dia tak ada bilangan lebih daripada parti politik lain.

"Kedua, YDPA masa dulu itu dah titahkan supaya perkiraan ataupun parti dengan parti bersetuju," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung Umno 2024 hari ini.

Azalina menambah selepas parti bersetuju, mereka kemudiannya terikat kepada perjanjian gabungan selepas pilihan raya.

Azalina merujuk catatan yang dibuatnya di laman X semalam, di mana dia berkata budi bicara Yang di-Pertuan Agong terdahulu tidak boleh dipertikaikan.

Menteri berkenaan menyebut mengenai Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk melantik seorang perdana menteri yang berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat.

Semalam, Muhyiddin menyerahkan kepada polis 115 SD - termasuk daripada dirinya sendiri - sebagai bukti mendapat sokongan untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022.

Muhyiddin menyebut dia telah melampirkan 51 SD daripada PN, PAS (22), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (satu), serta SD daripada 10 ahli parlimen BN serta dua Ahli Parlimen bebas.

Zahid pada masa itu berbalah pendapat dengan 10 ahli parlimen BN berkenaan mengenai sokongan terhadap Anwar.

GPS dan GRS pada mulanya menyokong Muhyiddin namun kemudian menukar sokongan mereka kepada Anwar apabila Sultan Abdullah menasihatkan ahli-ahli parlimen supaya membentuk "kerajaan perpaduan".

SD berkenaan antara dokumen yang diberikan Muhyiddin kepada polis bagi membantu siasatan berhubung ucapannya yang didakwa menyentuh isu 3R.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Semasa berucap di Felda Perasu di Kelantan pada 14 Ogos, Muhyiddin berkata dia tidak tahu mengapa Sultan Abdullah tidak memanggilnya ke istana untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 meskipun dia mempunyai sokongan mencukupi.

'Anwar gentleman'

Azalina turut menyifatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai 'gentleman' ketika menjadi ketua pembangkang, apabila Ismail Sabri dari Umno menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

"Saya tanya pada dia (Anwar) sebagai Ketua Pembangkang, saya pula timbalan speaker, bila jumpa di parlimen saya tanya, dia kata, tak, PH akan menerima keputusan Yang di-Pertuan Agong buat. Gentlemanlah tu. Lepas tu lawanlah masa PRU," katanya.