Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak mohon mahkamah gali kubur bapa, minta dikebumi cara Hindu

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Seorang anak mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Seremban untuk menggali semula jenazah bapanya, yang telah dikebumikan secara Islam tujuh tahun lalu, bagi membolehkan jenazah tersebut dikebumikan semula mengikut upacara Hindu.

Namun begitu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berusaha untuk membatalkan saman tersebut atas alasan ia difailkan lewat, memandangkan Mahat Sulaiman telah meninggal dunia pada awal pagi 9 September 2017.

Peguam MAINS, Zainul Rijal Abu Bakar (gambar bawah) mengesahkan Mahkamah Tinggi Seremban telah mendengar sebahagian permohonan untuk membatalkan saman tersebut semalam (dan masih belum ada keputusan terhadap permohonan tersebut).

MAINS turut diwakili oleh peguam Muhammad Hafiz Md Yusoff, Danial Farhan Zainul Rijal, Ali Huzaifah Sharif Ahmed dan Ahmad Khalil Md Rofiee.

Penasihat undang-undang negeri, Roziaton Mhd Nordin pula mewakili kerajaan Negeri Sembilan.

Pihak berkuasa agama itu berpendapat saman berkenaan - yang turut mensasarkan MAINS serta kerajaan persekutuan dan negeri - wajar dibatalkan kerana ia sepatutnya difailkan dalam tempoh tiga tahun selepas kejadian itu.

Melalui saman pemula yang difailkan pada 31 Julai tahun lalu, Roseli Mahat memohon untuk menggali semula jenazah bapanya Mahat, yang telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Sikamat, Negeri Sembilan.

Plaintif yang berusia 51 tahun itu mendakwa bapanya mengamalkan agama Hindu Baba Nyonya sejak lahir pada tahun 1941.

Roseli mendakwa dia dan lima lagi adik-beradiknya hasil perkahwinan Mahat dengan seorang ibu berketurunan India.

Plaintif menjelaskan kejadian kebakaran 36 tahun lalu telah memusnahkan dokumen pengenalan keluarganya dan dokumen yang dikeluarkan semula telah meletakkan 'bin' pada nama Mahat.

Roseli mendakwa masalah timbul pada hari bapanya meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, apabila kakitangan di sana menghalang dia daripada menguruskan upacara pengebumian Hindu untuk Mahat.

Roseli mendakwa kakitangan hospital memberi alasan nama Mahat mempunyai 'bin', yang menunjukkan dia beragama Islam.

Roseli berkata ketika dia cuba mendapatkan pengesahan rasmi tentang status agama Mahat, pegawai MAINS datang ke hospital sekitar jam 9 pagi pada 9 September 2017 dan membawa jenazah tersebut untuk dikebumikan secara Islam.

"Saya sesungguhnya percaya bahawa tindakan responden-responden (MAINS) yang meneruskan dengan proses pengkebumian tersebut secara salah tanpa mendapatkan kebenaran waris-waris si mati yang mana ia bertentangan dengan undang-undang.

Surat beranak tunjuk bukan Islam

"Saya dan waris si mati yang lain benar-benar terkejut dengan tidakan pihak responden-responden yang bersikap sambil lewa dan tidak berperikemanausiaan sedangkan kami adalah anak-anak si mati yang berhak mendapat hak ke atas mendiang bapa saya," kata Roseli dalam afidavitnya.

Plaintif juga mendapati, melalui pemeriksaan lanjut beberapa minggu kemudian pada bulan September tahun tersebut sijil kelahiran bapanya menunjukkan si mati bukan seorang yang beragama Islam.

Roseli mendakwa dia terpaksa membawa perkara ini ke mahkamah sivil tahun lalu selepas usaha jangka panjang untuk mendapatkan bantuan daripada pelbagai parti politik tidak membuahkan hasil.

Dia mendakwa ini termasuklah berurusan dengan DAP melalui P Gunasekaran dan J Arul Kumar, yang hanya menimbulkan isu tersebut kepada media dan tiada tindakan lanjut.

Roseli juga mendakwa pada tahun 2018 melalui Parti Sosialis Malaysia (PSM) dia telah menulis surat kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Mujahid Yusof untuk memohon pertemuan bagi membincangkan isu tersebut namun tidak menerima sebarang jawapan.

Dia turut mendakwa tidak menerima sebarang maklum balas terhadap surat yang dihantarnya kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, untuk membantu mengatur pertemuan antara waris Mahat dan MAINS.

Firma guaman Karthig Shan mewakili Roseli dalam kes ini.

[Baca berita asal]