Skip to main
Logo Malaysiakini

Teori Jho Low 'imej cermin' Najib berniat jahat - peguambela

Artikel ini sudah 23 hari diterbitkan

KES 1MDB | Dakwaan pihak pendakwaan bahawa Low Taek Jho (Jho Low) yang kini dalam buruan merupakan 'imej cermin' kepada bekas perdana menteri Najib Razak adalah satu teori yang "malefik" (jahat), kata peguambela kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhujah dakwaan 'imej cermin' tersebut satu konsep undang-undang rekaan yang tidak pernah didengar dan tidak disokong oleh bukti sama ada secara langsung atau tidak langsung.

"Pada tahap ini, kami berhujah bahawa teori imej cermin ini secara ringkasnya bertujuan untuk mengaitkan tindakan dua individu yang berbeza sebagai kesalahan yang dilakukan oleh satu individu sahaja: bahawa tindakan yang dilakukan oleh Jho Low harus dianggap seolah-olah ia diarahkan oleh Najib tanpa sebarang bukti yang kukuh.

"Teori malefik ini satu penyimpangan ketara daripada doktrin undang-undang yang telah diuji masa dan diterima seperti niat bersama, konspirasi jenayah atau pembantuan yang memerlukan pembuktian niat atau persiapan bersama antara individu untuk melakukan jenayah yang sama.

"Menariknya, Najib tidak pernah didakwa dalam kes ini atas tuduhan mempunyai niat bersama dengan Jho Low (yang masih bebas) untuk kesalahan-kesalahan ini.

"Ini satu tindakan berniat jahat oleh pihak pendakwaan," kata Wan Azwan kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah.

Prosiding hari ini melibatkan sesi penghujahan lisan dalam kes empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram terhadap bekas menteri kewangan Najib yang dikaitkan dengan RM2.27 bilion dana 1MDB.

Dalam kenyataan pembukaan pihak pendakwaan pada 2019, timbalan pendakwa raya mendiang Gopal Sri Ram menyamakan ahli perniagaan utama yang terlibat dalam 1MDB, Low, sebagai 'alter ego dan imej cermin' kepada Najib.

Penghujahan lisan akan disambung semula pada 2 September.

Najib sedang dibicarakan atas empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM2.27 bilion dana 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Mengenai 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Kementerian Kewangan Diperbadankan memiliki 1MDB sepenuhnya dengan Najib adalah pengerusi lembaga penasihat.

Tertuduh pertama kali didakwa pada 20 Sept 2018, dan perbicaraan jenayahnya bermula pada 28 Ogos 2019.

Seramai lima puluh saksi memberi keterangan untuk pihak pendakwaan, termasuk bekas peguam 1MDB Jasmine Loo.

Loo didakwa menjadi sebahagian daripada kelompok dalaman ahli perniagaan dalam buruan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho (Jho Low).

Pendakwa raya menuduh Najib menerima RM2.27 bilion yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan negara yang bermasalah itu antara 2011 dan 2014.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan Najib berhujah bekas perdana menteri itu tidak mengetahui sebarang salah laku dalam 1MDB dan sebarang salah laku yang mungkin berlaku semata-mata didalangi oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan ahli pengurusan 1MDB.

Najib yang juga bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB juga sebelum ini berhujah bahawa Raja Abdullah dari Arab Saudi menjanjikan sumbangan kewangan kepada tertuduh untuk tujuan politik.

[Baca berita asal]