Skip to main
Logo Malaysiakini

'SPRM salah guna kuasa, soal siasat anak Daim tanpa peguam'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Anak kepada bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, Wira Dani Abdul Daim didakwa disoal siasat SPRM selama beberapa jam tanpa kehadiran peguamnya, semalam.

Menurut peguamnya Rajesh Nagarajan, Wira dinafikan hak untuk mendapat perwakilan undang-undang walaupun beberapa kali memintanya dengan pegawai SPRM dan malah didakwa diancam untuk segera ditahan jika dia terus membuat permintaan itu.

Rajesh berkata, Wira hadir ke ibu pejabat SPRM untuk soal siasat pada kira-kira 9.30 pagi semalam, berhubung siasatan terhadap bapanya.

“Walaupun meminta beberapa kali, Daim tidak pernah dimaklumkan berkenaan kesalahan yang didakwa dilakukannya.

“Keseluruhan siasatan adalah usaha untuk mencari sesuatu oleh SPRM, dengan diiringi dengan tuduhan tanpa asas secara berkala dihalakan kepadanya oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di pentas politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut undang-undang, katanya, setiap individu berhak diwakili peguam dan penafian hak itu adalah pelanggaran ke atas hak yang dijamin dalam Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

Rajesh Nagarajan

Rajesh berkata penafian hak diwakili itu, serta dakwaan ancaman penahanan, merupakan salah guna kuasa oleh SPRM.

“Ancaman penahanan itu tiada asas undang-undang dan dibuat untuk secara salah menakut-nakutkan Wira agar melepaskan haknya agar peguamnya ada (ketika soal siasat).

“Ekoran tindakan angkuh, sembarangan dan menyalahi undang-undang oleh SPRM ini, Wira terpaksa melalui soal siasat berjam-jam tanpa kehadiran peguam,” katanya, sambil menambah ia satu tindakan yang tak dapat diterima.

Perlu penjelasan

Justeru, dia menggesa SPRM, menteri dalam negeri dan kerajaan untuk tidak lagi meanfikan hak rakyat untuk mendapat nasihat perundangan.

“Kematian tragik Teoh Beng Hock, yang juga dinafikan hak perwakilan undang-undang ketika soal siasat, tidak boleh dilupakan.

“Sementara itu, kami menggesa SPRM dan Menteri Dalam Negeri memberi penjelasan berhubung perkara ini dan jaminan yang hak dan keselamatan Wira akan dilindungi,” katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan respons.

Pada 29 Januari lalu, Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan hartanya, merangkumi 38 syarikat, 25 unit hartanah, tujuh kenderaan mewah, serta dua akaun dana pelaburan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja memberi pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis SPRM mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM.

Isterinya, Na’imah Abdul Khalid juga berdepan pertuduhan yang sama.