Umno cadang kerajaan tubuh Majlis Tindakan Ekonomi Utama
PAU 2024 | Umno hari ini mencadangkan kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Utama (CEAC).
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata majlis itu difikirkan perlu memandangkan negara sedang beralih kepada sumber pertumbuhan dan penghasilan baru seperti nadir bumi, ekonomi digital, inovasi dan pelaburan hijau serta pendidikan TVET aras tinggi.
"Di samping itu, melalui CEAC ini, kerajaan juga boleh mempertimbangkan regim percukaian progresif bagi meningkatkan pendapatan negara,” kata Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid menegaskan Umno tetap komited dalam memperkasakan ekonomi bumiputera.
Merujuk kepada kejayaan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, dia berkata tugas Umno kini adalah memastikan setiap resolusi yang digariskan semasa kongres itu dilaksanakan dengan teliti dan mencapai keberhasilan.
"Justeru, kita akan cadangkan agar kajian dan pelaporan tahunan dibuat untuk menilai keberkesanan serta manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasaran," katanya.
Selain daripada Kongres Ekonomi Bumiputera, Ahmad Zahid berkata kemasukan pelaburan asing juga telah membuka peluang kepada usahawan bumiputera menikmati limpahan aktiviti ekonomi.
"Sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Negara pula, saya melihat potensi industri halal ini terlalu besar.
"Pada tahun 2023 sahaja, sumbangan industri halal kepada KDNK direkodkan pada kadar 7.9% dengan jumlah eksport produk halal adalah sebanyak RM53.72 billion berbanding jumlah keseluruhan eksport negara RM1.426 trillion. Pasaran dan peluang yang besar ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengusaha-pengusaha Melayu,” tambahnya.
Era politik 'handphone'
Sementara itu, Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, mengingatkan para perwakilan bahawa politik negara telah melangkah ke era politik digital dan disifatkannya era politik "handphone".
Justeru dia menyeru para perwakilan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi tersebut, yang telah mempengaruhi pemikiran rakyat melalui konsep "3-S", sebagai persediaan untuk memenangi peperangan persepsi.
"Dahulu, S pertama ialah kebergantungan kita hanyalah kepada “Skrip dan skrin”.
"Politik masih mudah dikawal melalui akhbar, makalah dan televisyen. Kemudian, kita beralih kepada era S yang kedua iaitu “Scroll” yang mendedahkan kita kepada website, portal dan blog.
"Kini, kita berada di era S yang ketiga iaitu ‘swipe’ melalui paparan video ringkas di Tiktok.
"Politik berteraskan Kecerdasan Buatan atau “AI” akan menguasai peperangan minda pada PRU akan datang," tegasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai