Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Apa guna ada 72 usul jika tak bersungguh perjuangkan Najib

Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

ULASAN | Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan ada 72 usul yang menuntut keadilan dan pengampunan untuk Najib Razak. 

Tetapi apa guna sekadar mengumumkan jumlah usul tetapi tiada sebarang kesungguhan untuk mendesak dan mengugut Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan PH-BN agar memberi pengampunan penuh dan keadilan kepada Najib?

Apabila anak Najib menegaskan bahawa pihak keluarga telah diberi makluman bahawa Najib dipertimbang untuk pengampunan penuh dan dibebaskan pada 29 Januari 2024 namun beliau hanya mendapat pengampunan diskaun pada 2 Februari 2024, apa tindakan Zahid sebagai presiden Umno dan timbalan perdana menteri? Apa tindakan Azalina Othman Said sebagai menteri undang-undang dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno?

Apabila Ismail Sabri Yaakob bangkitkan soal tahanan rumah untuk Najib di Dewan Rakyat pada 6 Mac 2024, apa tindakan Zahid, Azalina dan Ahli MKT yang lain? Ada?

Apabila Najib memfailkan semakan kehakiman pada 1 April 2024, kenapa baru Zahid kelam kabut? Kenapa baru hendak keluarkan afidavit pada 9 April? 

Kenapa selepas itu baru ada seorang demi seorang pengerusi Umno negeri membuat kenyataan? Walau ia bukan untuk mendesak Anwar dan kerajaan berkenaan pembebasan dan keadilan kepada Najib, sebaliknya membodek Zahid. Bukankah pelik?

Kenapa Zahid hanya buat afidavit pada 9 April, sedangkan Zafrul telah membocorkan maklumat mengenai titah adendum Agong pada 30 Januari, iaitu sehari selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan? Kenapa Zahid menunggu dua bulan?

Kenapa Ahli MKT Umno mendiamkan diri sepanjang tempoh itu dan menyembunyikan hal titah adendum Agong ini daripada pengetahuan ahli-ahli Umno? Langsung tiada desakan dan kenyataan?

Wujudkah titah adendum Agong ini? Ahli MKT Umno, Lokman Adam mengesahkan kewujudannya apabila mengatakan yang Zahid pernah berbincang dengan Ahli MKT mengenainya dan menerima pandangan bahawa titah adendum ini tidak sah.

Wan Rosdy juga membuat afidavit mengesahkan kewujudan titah itu sebelum ini. Anwar juga membuat kenyataan yang membayangkan bahawa Titah Perintah Addendum ini memang wujud dan pendiriannya, titah itu tidak sah.

Apa tindakan Ahli MKT Umno selepas tahu bawa titah ini wujud? Ada desakan dan ugutan terhadap Anwar? Tiada. Malah yang peliknya, Naib Presiden Umno Johari Ghani boleh pula menyatakan dia tidak faham mengenai titah adendum dan pandangannya adalah mengikut pandangan Anwar. Maksudnya naib presiden Umno juga tidak mendesak Anwar untuk berbuat apa-apa dan mengakui titah tersebut tidak sah.

Bukankah ini titah Agong yang mesti dijunjung? Kenapa dibenarkan Anwar dan kerajaan PH-BN ini meremehkan titah  ini? Tidakkah ini suatu bentuk penderhakaan?

Selepas Mahkamah membuat keputusan bahawa rayuan semakan kehakiman Najib ditolak kerana titah adendum Agong itu hanyalah khabar angin, apa tindakan Zahid, Zafrul, Azalina, Wan Rosdy dan Ahli-ahli MKT Umno? Tiada apa-apa.

Dalam hal berkaitan ucapan Muhyiddin Yassin, kenapa Wan Rosdy sampai boleh membuat kenyataan. Kenapa selepas itu ada banyak laporan polis dibuat. Malah ada himpunan yang dibuat untuk menyokong Sultan Abdullah. Sedangkan bagi kes titah adendum Agong mengenai tahanan rumah Najib, seolah-olah langsung tiada tindakan.

Apa yang susah sangat bagi seorang timbalan perdana menteri untuk mendapatkan salinan titah adendum tersebut? Orang nombor dua dalam negara pun tak boleh dapatkan?

Apa yang susah sangat bagi Azalina untuk mendapatkan salinan titah tersebut sedangkan Jabatan Peguam Negara di bawah kementeriannya dan merupakan urusetia kepada Mesyuarat Pengampunan Diraja?

Apa yang susah sangat bagi Zafrul dan Wan Rosdy? Zafrul rapat dengan Istana Pahang dan Wan Rosdy pula menteri besar Pahang. Apa yang susah sangat nak mendapatkannya daripada pihak Istana?

Kenapa tiada seorang pun di kalangan mereka yang mampu mendapatkan sesalinan titah adendum Agong ini untuk diserahkan kepada mahkamah sebagai bukti bahawa ia benar-benar wujud?

Kenapa tiada desakan terhadap Anwar dan tiada ugutan ahli Parlimen Umno menarik sokongan, seperti yang mereka pernah buat di zaman pandemik Covid-19 dulu? Tiada desakan, ugutan, demonstrasi dan himpunan yang dibuat untuk mendapatkan salinan titah tersebut walaupun tahu kegagalan Anwar dan kerajaan menjunjung titah Agong dalam hal ini adalah suatu penderhakaan.

Sejak Januari lalu sehingga hari ini, sudah hampir tujuh bulan dan masih tiada kelihatan tindakan yang serius dan bersungguh-sungguh daripada presiden, ahli MKT dan ahli-ahli Umno untuk membebaskan Najib.

Malah lebih teruk lagi jika jurucakap dan pembahas dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 tidak dibenarkan menyentuh isu tersebut dan menggunakan PAU ini sebagai platform untuk mendesak Anwar dan kerajaan PH-BN ini agar tidak derhaka.

Langsung tak nampak keseriusan dan kesungguhan Zahid dan MKT Umno untuk membebaskan Najib dan memberikan keadilan kepadanya. Ketua Pemuda Umno dan pemuda-pemudanya juga nampak lembik dan tidak berani mendesak Anwar dan kerajaan, apa lagi jika nak minta mereka berdemonstrasi di jalanan. Lemah!


TUN FAISAL ISMAIL AZIZ adalah bekas timbalan ketua Umno Putrajaya dan kini pengerusi Sekretariat Selamatkan Malaysia 2.0.

Artikel ini padangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.