Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno Kluang serah tiga nama sebagai calon PRK DUN Mahkota

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

PAU 2024 | Umno bahagian Kluang telah mengemukakan tiga nama sebagai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota yang dijadualkan pada 28 Sept.

Bagaimanapun, Ketua Umno bahagian Kluang, Md Jais Sarday enggan mendedahkan nama-nama yang telah diserahkan kepada Umno pusat itu.

"Dah awal serahkan calon dan dia daripada bahagian.

“Hantar tiga orang calon. Tapi tak boleh sebut siapa dia,” kata Jais dalam sidang media yang diadakan Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur sempena Perhimpunan Agung Umno 2024 hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Sept sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota, manakala hari penamaan calon dan pengundian awal masing-masing dijadualkan pada 14 dan 24 Sept.

PRK itu diadakan berikutan kematian Sharifah Azizah Syed Zain daripada Umno pada 2 Ogos lalu.

Dalam perhimpunan agung parti itu semalam, Pemuda dan Wanita Umno masing-masing menyatakan hasrat meletakkan calon daripada sayap parti masing-masing pada PRK berkenaan.

Mengulas lanjut, Jais berkata pihaknya menyerahkan keputusan untuk memilih calon PRK DUN Mahkota kepada pucuk pimpinan, namun menegaskan individu itu mestilah daripada kepimpinan Umno bahagian.

"Terserah kepada pucuk pimpinan. Selagi dia di kalangan kepimpinan Umno bahagian.

"Bagi saya PRK ni, kemenangan tu penting kerana itu kubu kuat kita.

"Saya juga harap calon yang dicalonkan tu menang dan dapat bantu untuk perkukuhkan parti,” katanya.

Sebelum ini, Amanah Kluang juga menyatakan minat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Namun Md Jais berkata perkara itu juga telah dibincangkan dengan parti komponen PH itu dan mereka menerima keputusan Umno bertanding pada PRK itu.

"Mereka (Amanah) juga akan bantu kita, seperti mana kita bantu dia di Pulai dan Simpang Jeram (PRK)," katanya.